45 Peratus Kanak-kanak India Tidak Ke Tadika

Shah Alam - Sejumlah 45 peratus murid-murid dari kaum India di Selangor yang memasuki darjah satu di sekolah Tamil tidak mendapat pendidikan pra sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri juga memfokuskan untuk mendirikan beberapa pra sekolah iaitu tadika khususnya untuk kaum India yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan membawakan kemudahan ini kepada golongan yang tidak mampu untuk menghantar anak mereka kerana keperluan yang sedia ada untuk keluarga tidak mencukupi.

"Pada tahun ini sahaja, kerajaan negeri akan membina lebih kurang 15 tadika di beberapa tempat di negeri ini. Jika perlu kita akan gunakan dana yang kita ada untuk anak-anak kita."

"Bukan sahaja tadika-tadika ini akan dibina di kawasan sekolah tetapi kita juga akan membinanya di kawasan-kawasan perumahan kos rendah," katanya.

Dr Xavier berkata, 15 pra sekolah tersebut sudah mula dibina dan dalam proses pembinaan yang terletak di beberapa tempat antaranya di Taman Sentosa, Klang, Dengkil, Ladang Bukit Raja, Ladang Sungai Bernam, Ladang Semenyih.

"Apabila siap dibina nanti, setiap kelas akan menempatkan 25 pelajar," katanya.

Beliau juga turut memaklumkan jumlah peruntukan 2009 bagi masyarakat India di Selangor yang berjumlah RM12.471 juta.

Selain itu, peruntukan ini juga digunakan untuk Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam serta Program Latihan dan Keusahawanan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Organisasi Perniagaan dan NGO Masyarakat India Selangor di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad serta 30 wakil dari 15 NGO masyarakat India Selangor.

Sumber Berita: Sinar Harian, 20 Julai 2009, S4


0 comments:

top