SHAH ALAM 9 FEB : Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan satu laporan lengkap berhubung aset air negeri dalam usaha penyusunan semula struktur industri air negeri.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, sebelum ini tiada usaha menyeluruh yang diambil untuk mengenalpasti keseluruhan jumlah, lokasi-lokasi serta nilai aset air Negeri Selangor.

Laporan lengkap ini merupakan salah satu usaha memastikan pengambil-alihan industri air Selangor dibuat secara adil.

"Penyediaan laporan ini adalah satu usaha bagi memastikan  pengambil-alihan industri air Selangor daripada empat konsesi air dibuat secara adil kepada semua pihak," katanya.

Dalam laporan ini akan menyenaraikan keseluruhan jumlah, lokasi serta nilai aset kepunyaan negeri.

Laporan ini antara lain mengambil kira maklumat kejuruteraan dan teknikal berkaitan bekalan air dan pengurusan pemprosesan air, loji-loji rawatan air, paip bekalan, empangan serta sistem pam juga diberi perhatian 'due deligance' teknikal dan penswastaan harta tetap (fixed asset sighting).

Selangor Tidak Keluar Arahan Tutup Kuil Sivan

PETALING JAYA 8 FEB: Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan Kuil Sivan yang terletak di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Tetapi ia adalah arahan daripada pihak pentadbiran kuil itu sendiri di sebabkan struktur tanah di situ tidak stabil.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat bersama antara pihak pentadbiran Kuil Sivan, wakil MBPJ dan kerajaan negeri, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kesemua pihak sememangnya bekerjasama sejak awal lagi bagi menyelesaikan isu ini.

"Macam mana pihak kuil telah kata, penutupan kuil ini bukanlah dari pihak kerajaan tetapi dari kuil itu sendiri sebab mereka nak jaga keselamatan penganut-penganut yang akan datang ke kawasan ini, tetapi (upacara) perayaan dan proses keagamaan diteruskan samada setiap hari atau tiga kali seminggu, ada orang-orang yang dipertanggungjawabkan telah lakukannya di dalam kuil itu," jelas Dr Xavier.

ADUN Sri Muda Mengaku Tidak Bersalah

SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.
PETALING JAYA 7 FEB: Isu pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seaport yang sebelum ini mendapat bantahan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan penduduk berikutan isu keluasan tapak telahpun selesai. 

ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili penduduk berharap agar Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dapat memulakan segera pembinaan sekolah tersebut.

"Sebelum ini, pemindahan tersebut tertangguh pada 2008 apabila PIBG dan penduduk membantah tapak 1 ekar yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional dahulu," jelas Nik Nazmi dalam sidang media di Dewan MBPJ, Kg. Lindungan pagi tadi.

Katanya, selepas rundingan antara PIBG, penduduk dan Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada November 2010 telah memutuskan agar tapak SJKT Seaport di Kg. Lindungan ditetapkan pada 1.5 ekar.
KUALA LUMPUR, 6 Feb — Pakatan Rakyat (PR) akan meminda perlembagaan Selangor untuk mengembalikan kuasa dalam urusan pelantikan perkhidmatan awam negeri itu jika ia memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum kelak, kata seorang pegawai kanannya.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata janji untuk memulihkan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan negeri kini dijadikan sebahagian daripada kempen PR Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Bagi saya, Umno sudah hilang momentum mereka,” kata Faekah kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif.

Tegas beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi satu peluang untuk membuktikan mereka benar-benar sokong institusi diraja.
SHAH ALAM, 5 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menjelaskan polis tidak  seharusnya memberi amaran dan menghalang orang ramai memberi sokongan kepadanya Isnin ini.

Ini kerana  perhimpunan yang bakal diadakan itu dibuat secara aman jika tiada gangguan dari pihak tertentu.

Shuhaimi berkata demikian ketika dihubungi Selangor Kini hari ini berhubung kenyataan  polis yang memberi amaran dan meminta orang ramai tidak mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Shuhaimi.

ADUN Sri Muda itu menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen tersebut ekoran kenyataan yang dibuat dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

“Tugas utama dia membanteras jenayah jadi tumpukan dan fokus kepada perkara-perkara yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat…orang nak berkumpul ini mengikut perlembagaan persekutuan perkara sepuluh kurungan satu benda ini menjadi hak rakyat,” katanya.
Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat yang meraikannya khususnya di negeri Selangor.

Seperti yang kita sedia maklum, Tahun Baru Cina diraikan setiap tahun dengan penuh kemeriahan. Berasal dari sambutan musim bunga bagi meraikan kejayaan hasil tanaman, golongan muda di perantauan akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing bagi meraikannya. 

Menerusi peredaran zaman, tradisi murni ini tetap diteruskan, dan pada hari ini Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan bersama ibubapa dan golongan tua, tetapi diraikan bersama-sama dengan jiran tetangga dan rakan-rakan.

Sinonim dengan sambutan yang meriah ini, perhiasan serta pakaian baru dipersiapkan, juadah tradisi disediakan, limau mandarin dan ang pow menjadi suatu kemestian. 

Bersempena dengan musim perayaan ini, ingin saya mengambil kesempatan berpesan supaya kita berbelanja dengan bijak dan cermat serta teruskan amalan kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan hubungan sesama kita.

Pada tahun ini, kita raikan tahun arnab yang disimbolkan dan dikaitkan dengan ketenangan dan ketahanan. Kepada mereka yang membuat perjalanan pulang ke kampung, terapkanlah nilai-nilai ini, amalkan sikap bersabar dan berhati-hati di jalan raya.

Akhir kata, saya dan keluarga, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, mulakanlah tahun baru ini dengan satu lembaran yang baru dan semoga tahun ini dilimpahkan dengan penuh kejayaan dan kebahagiaan. Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai!


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kementerian Kesihatan DiSaran Buat Laporan Audit

Shah Alam - Kerajaan Negeri Selangor menyarankan Kementerian Kesihatan supaya membuat laporan audit secara menyeluruh berhubung aspek pembinaan bagi seluruh bangunan hospital di negara ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata laporan audit itu dibuat bertujuan untuk memastikan tidak berlakunya pembinaan bangunan yang kurang berkualiti sehingga boleh membahayakan pesakit di masa hadapan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah ini kerana tugas tersebut adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

"Saya berpendapat masalah ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya pembinaan hospital tersebut mengikut spesifikasi pembinaan yang telah ditetapkan."
top