Dr Xavier - Selangor Mungkin Rugi Jutaan Ringgit

ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar mahu kerajaan Selangor bawah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertanggungjawab mengenai isu penjualan tanah di Kuala Langat kepada syarikat Tropicana yang mungkin menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri.

Beliau yang juga bekas exco negeri mencadangkan pertikaian penjualan itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi mengenalpasti kelemahan perjanjian “berat sebelah” itu.

Xavier  turut mempersoalkan mengapa perjanjian penjualan tanah April tahun lalu itu dibuat ketika ahli exco belum mengangkat sumpah sejurus sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Melihat kepada perjanjian baru yang pada hemat saya menyebelahi Tropicana dan memberi persepsi bahawa kerajaan Selangor mungkin kehilangan jutaan ringgit, isunya adalah bagaimana perjanjian ini dibenarkan untuk ditandatangani?

“Bagaimana menteri besar membenarkan perjanjian ditandatangani ketika tempoh kerajaan sementara?" kata Xavier dalam satu kenyataan hari ini.

April tahun lepas, kerajaan negeri menjual 1,172 ekar tanah paya di Kuala Langat milik MBI berserta dengan pelan pembangunan kawasan tersebut yang dibangunkan Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB)

Selangor bersetuju agar Tropicana membayar bayaran 'tertunda' dalam tempoh 20 tahun, termasuk 12 tahun ansuran nilai tanah sebanyak RM587 juta.

Bagaimanapun Tropicana menjual 308 ekar tanah itu kepada syarikat Eco World pada keuntungan RM 170 juta.

Justeru Khalid minggu lalu menegaskan beliau 'sangat pasti' dengan tuntutan RM 844 juta ke atas 748 ekar tanah yang boleh dibangunkan dari Tropicana kerana syarikat itu telahpun mendapat keuntungan awal berdasarkan harga tanah tersebut.

Menurut Ketua Eksekutif MBI, Faekah Hussin, 15 syarikat terkemuka membuat bidaan untuk tanah tersebut namun berjaya dijual kepada Tropicana (dulu dikenali sebagai Dijaya) yang membuat bidaan paling tinggi bernilai RM 1.29 billion.

Sementara itu Khalid ketika ditemui Malaysiakini tidak mahu mengulas lanjut dan berkata beliau akan meminta Ketua Pegawai Eksekutif dan lembaga pengarah PNSB untuk memberikan kenyataan media berikutan perkara itu.

"Saya akan minta lembaga pengarah dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat (PNSB) untuk memberi kenyataan kepada media mengenai isu ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top