Catuan Air di Selangor, KL Berakhir Hari Ini

Seperti dijangka Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bahawa catuan air yang berlarutan lebih dua bulan di negeri ini ditamatkan esok.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan walaupun paras air masih belum melepasi paras selamat pada 55 peratus, tetapi ia telahpun secara konsisten meningkat dan kini di atas tahap kritikal iaitu 40 peratus.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui oleh semua pihak terlibat termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Lembaga Urus Air Selangor )LUAS)dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KBSB) yang mentadbir empangan Sungai Selangor.

"Pelan catuan air akan dihentikan mulai esok 1 Mei", katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco sebentar tadi.

Sebelum ini Pengerusi SPAN Datuk Ismail Kassim turur mengumumkan perkara sama di sidang media di Kangar tengah hari tadi.

Sehubungan itu, Abdul Khalid memberitahu sidang akhbar di Shah Alam hari ini bahawa semua kawasan yang terlibat dengan catuan air akan memperolehi bekalan air seperti biasa bermula Khamis atau selewat-lewatnya Jumaat bagi kawasan bertekanan rendah.

Katanya, kerajaan negeri telah memaklumkan keputusan ini kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)  untuk dipatuhi dan memastikan pengguna mendapat bekalan air seperti sediakala.

"Kerajaan negeri berpendapat tidak perlu menunggu empangan mencapai takungan 50 peratus kerana yakin usaha keras yang telah dilaksanakan seperti mengepam air kolam selain hujan berterusan di kawasan tadahan air akan meningkatkan lagi paras empangan.

"Justeru, kerajaan negeri dan pihak-pihak yang terlibat seperti LUAS, SPAN serta JPS akan terus memantau setiap hari perkembangan ini untuk memastikan paras empangan terus meningkat dan keputusan membatalkan perintah catuan ini akan dikaji dari semasa ke semasa," katanya.

Abdul Khalid berkata, beliau juga telah menulis surat kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada 29 April bagi mendapatkan sokongan dan kebenaran Kerajaan Malaysia  untuk kerajaan negeri menggunakan kepakaran Thailand menjalankan pembenihan awan menggunakan kaedah Ejectable Flare Rack.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat sekatan untuk melakukan teknik ini kerana dipercayai mempunyai unsur-unsur yang mungkin memberi kesan kepada isu keselamatan negara.

"Pada masa yang sama, kerajaan negeri terus memperhebatkan usaha-usaha untuk menambah bekalan air terutama sebagai persediaan menghadapi musim kering yang panjang yang dijangka  bermula akhir Mei hingga September," katanya.

JPS, tambahnya, telah membekalkan 10 pam air yang digunakan untuk mengepam air dari kolam dan hilir sungai ke Sungai Selangor.

"Peruntukan sejumlah RM10 juta disediakan oleh kerajaan negeri untuk membeli pam dan pembinaan intrastruktur bagi melakukan kerja-kerja pengepaman ini," katanya.

Pam itu juga, katanya, akan digunakan untuk mengepam air sungai yang berlebihan ke kolam takungan sebagai persiapan awal dan akan dipam semula ke sungai apabila musim kering.

"Dengan kaedah ini, pelepasan air daripada empangan akan lebih terkawal dan tempoh untuk empangan mencapai tahap kritikal dapat dilanjutkan antara 5 hingga 6 bulan.

"Kerajaan negeri juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di kolam-kolam takungan dan menjadikan sekitar kawasan ini sebagai kawasan larangan khas," katanya.

Kolam-kolam sumber air alternatif itu, katanya, telahpun dikenalpasti LUAS sejak tahun 2009 lagi.

"Malah, pemantauan berkala dilakukan ke atas kolam-kolam ini melalui pensampelan yang dijalankan pada tahun 2011, 2012 dan juga 2013.

"Hasil pensampelan menunjukkan tiada unsur kimia dan logam berat yang ditemui dan kualiti air kolam-kolam ini mematuhi parameter yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

"Kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menjaga keselamatan pengguna dan akan memberi maklumat penuh sekiranya terdapat keraguan terhadap penggunaan air kolam tersebut.

"Kerajaan negeri merayu agar semua rakyat mengamalkan penggunaan air terawat secara berhemah dengan menggunakan air hujan bagi aktiviti luar seperti membasuh kereta atau menyiram pokok.


Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top