Oleh: N Surendran
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Padang Serai

Saya rujuk kritikan berkenaan perletakan jawatan bekas ADUN Kajang, CC Lee dan keputusan KEADILAN untuk meletakkan DS Anwar Ibrahim sebagai calon.

Banyak kritikan yang diterima hingga kini lebih bersifat reaksi menyentap, belum difikirkan dengan mendalam dan kurang memahami politik kepartian dan pilihan raya.
 
Pilihanraya merupakan asas strategi bagi mana-mana parti politik di dalam sesebuah demokrasi moden. Ianya hak sesebuah parti politik untuk meminta rakyat membuat pilihan sebagai satu langkah strategi politik, sama ada melalui pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.

Dengan menggunakan pilihanraya untuk meraih kelebihan politik, KEADILAN/Pakatan Rakyat sebenarnya memperkukuh sistem demokrasi sedia ada.

Penggunaan pilihanraya sebagai langkah strategi yang sihat perlu dipupuk dan digalak. Pakatan Rakyat berniat menambah kekuatan dengan penggunaan sistem pilihanraya secara sah.

Ini berbeza apabila dibandingkan dengan BN yang melemahkan pilihanraya, dan menyalahguna kuasa eksekutif untuk menindas dan menganiaya musuh untuk terus memegang kuasa.

Pilihanraya kecil merupakan satu cara yang amat baik untuk mendengar suara rakyat; setiap pilihanraya kecil yang diadakan mengukuhkan demokrasi, dan mengiakan demokrasi penyertaan.

Pengkritik ‘Serampang Kajang’ mungkin gagal mengamati bahawa sebuah demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik. Kelebihan ini boleh diperolehi melalui cara-cara yang sah dan dibenarkan, termasuklah pilihanraya kecil.

Mereka turut terlupa kata-kata dan semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbang malah membenarkan situasi-situasi sebegini.

Perkara 51 membenarkan seseorang wakil rakyat untuk meletakkan jawatan tanpa sebab atau syarat. Perkara 51 ditulis untuk membolehkan pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik.

Memaksa berlakunya pilihanraya kecil adalah strategi politik yang diamalkan di pelbagai negara demokrasi matang. Pada 2008, Ahli Parlimen David Davis telah meletakkan jawatan dari House of Commons, UK untuk memaksa berlakunya pilihanraya kecil demi memberi fokus kepada isu kebebasan awam. Pada tahun 1986, kesemua Ahli Parlimen Unionist telah meletakkan jawatan dari parlimen UK sebagai satu strategi politik.

Berbeza dari apa yang dikatakan pengkritik, tiada apa-apa kesalahan dalam memaksa berlakunya pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik.

Mereka yang berkata pilihanraya kecil itu membazir wang ringgit mungkin tidak faham bahawa wang ringgit memang terpaksa dibelanjakan demi menghidupkan sesebuah demokrasi. Fokus mereka sepatutnya kepada pilihanraya yang bersih, bukannya demokrasi yang murah.

Akhir kata, ‘Serampang Kajang’ merupakan strategi politik untuk mengalahkan BN yang korup dan zalim. Ini tidak bercanggah dengan hasrat dan kemahuan rakyat; malah, ianya adalah demi kepentingan rakyat.

0 comments:

top