PETALING JAYA 23 FEB : Kerajaan Negeri akan melaksanakan program kesihatan dari rumah ke rumah bagi mengetahui tahap kesihatan keluarga di negeri itu.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah memberi arahan untuk menghantar petugas sukarelawan bagi mengenal pasti tahap kesihatan seterusnya masalah yang dihadapi keluarga terbabit.
 
Katanya, pada peringkat permulaan itu, 10 kawasan mengikut daerah dikenal pasti untuk melaksanakan program itu.

Antaranya di kawasan Desa Mentari, Lembah Subang, Rimba Jaya, Projek Perumahan Rakyat Hicom, Seri Perantau dan Bandar Sultan Suleiman.

“Kita sudah lakukan persiapan awal, kita akan lihat nisbah seorang petugas dengan keluarga. Menteri Besar minta pastikan fokus kesihatan adalah yang terbaik.

“Contohnya, bagi yang mempunyai kewangan mungkin tiada masalah tetapi bagi golongan berpendapatan rendah akan mengenepikan masalah ini.

“Melalui program ini, Kerajaan Negeri akan cepat dapat maklumat mengenai permasalahan mereka dan kita akan cuba bantu,” katanya selepas merasmikan Seminar Kesihatan Sempena Hari Kanser Sedunia 2014.

Beliau berkata selain kawasan perbandaran, program itu akan dijalankan di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana rendah.

Rodziah turut memaklumkan kesihatan rakyat di negeri ini termasuk wanita masih berada di tahap rendah.

“Contoh wanita, kesederan itu ada tetapi mungkin disebabkan faktor kewangan. Oleh itu, Kerajaan Negeri mengamalkan konsep ‘kita bawa dan kita datang’.

Sementara itu, Rodziah berkata mengikut statistik dari 2013 hingga kini, seramai lebih 17,000 wanita mendapat pemeriksaan mammogram secara percuma.

“Setiap 100 orang, kita dapati ada satu atau dua orang yang dikenal pasti menghidap kanser, namun disebabkan masih ditahap rendah dan melakukan rawatan yang konsisten, mereka dapat dipulihkan,” katanya.

Sumber: SelangoKu

0 comments:

top