Harga Kereta Turun: Laporan Utusan Tipu Kata PKR

KUALA LUMPUR: Penafian oleh syarikat pengeluar kereta terhadap laporan Utusan kononnya berlaku penurunan harga kereta oleh kerajaan BN,  memperlihatkan akhbar Umno itu 'cuba menipu', kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, episod memalukan ini mendedahkan betapa terdesaknya Umno BN di dalam berhadapan dengan kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan.

"Justeru, laporan Utusan bahawa 10 model kereta telah mencatatkan penurunan harga adalah suatu percubaan terdesak untuk memperbodohkan rakyat. Kedua-dua Volkswagen dan Peugeot sudah menafikan dakwaan tersebut. Portal berita Malaysian Insider turut mendedahkan dakwaan pengurangan harga Honda Jazz Hybrid juga tidak benar.

"Sekali lagi, Utusan menunjukkan betapa akhbar yang suatu ketika dahulu menjadi mendepani kewartawanan Melayu kini menjadi simbol etika kewartawanan yang pincang di dalam usahanya untuk menjaga kepentingan politik pemiliknya, Umno," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia sebelum ini kononnya kerajaan BN telah menurunkan harga kereta-kereta sehingga 11 peratus sejak Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan manifesto.

Menurut beliau lagi, apabila Pakatan mula-mula melancarkan kempen #TurunkanHargaKereta, Umno BN mendakwa bahawa mustahil untuk melaksanakannya di atas pelbagai alasan, termasuk untuk melindungi pembuat kereta tempatan dan kehilangan hasil kerajaan.

Namun katanya, hujah itu dengan mudah dijawab Pakatan dengan penjelasan bahawa skim ini melibatkan penurunan harga secara beransur-ansur untuk semua pembuat kereta.

Kemudiannya, selepas manifesto Pakatan dilancarkan, Umno BN pula meniru dengan menyertakan penurunan harga kereta di dalam janji mereka dengan tekad menyemak semula Dasar Automotif Negara untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dan meningkatkan daya saing kereta-kereta nasional.

Tetapi kata Nik Nazmi, kerajaan gagal memberikan butir-butir bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan dasar ini tanpa mengurangkan duti eksais, dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datu Seri Mustapa Mohamed menyatakan matlamat ini akan dicapai dengan ‘bersandarkan kuasa pasaran’.

"Utusan mestilah memohon maaf segera kepada semua rakyat Malaysia di samping pembuat-pembuat kereta di atas berita ini," Katanya.

Sumber: HarakahDaily

0 comments:

top