PETALING JAYA, 3 JUN: Seorang pengundi, Mohd Azlan Mohd Sharif membuat enam laporan polis menuntut siasatan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 yang digazetkan 22 Mei lalu berbeza dengan yang diumum pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui borang 16.
Beliau mendapati sebanyak 53,045 kertas undi ‘hilang’ melibatkan semua kerusi Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, DUN Banggi dan DUN Labuk, Sabah.
Borang 16 ialah Borang Pengisytiharan Keputusan pilihan raya daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.
“Ia satu kesalahan jenayah mengikut seksyen 3(1)(h) dan seksyen 6 (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Maka jelas polis dan SPR yang bertugas pada hari, masa dan tempat mengundi bersubahat, membenarkan dan melakukan jenayah ini,” katanya dipetik dalam laporan polisnya yang pertama.
Mohd Azlan, pengundi DUN Sungai Balang dan parlimen Muar, Johor membuat semua laporan itu di balai polis Klang pada 30 Mei.
Enam laporan melibatkan kehilangan kertas undi, salah kira undi, maklumat yang sudah berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluar di parlimen dan DUN, maklumat kerusi parlimen dan DUN berbeza sebelum dan selepas diwartakan dan kecuaian anggota polis.
“Saya tidak nampak, tidak tahu, tidak terdengar, tidak terbaca apa-apa berita mengatakan ada tangkapan oleh SPR atau polis terhadap mana-mana pihak yang membawa keluar atau menghilangkan kertas undi yang telah dikeluarkan,” kata Azlan.
Katanya. kemenangan semua calon bagi setiap kerusi itu pada PRU lalu adalah tidak sah dan terbatal sehinggalah kertas undi itu disemak dan disahkan semula.
“Tujuan enam laporan dibuat agar pihak berkuasa termasuk polis menyiasatnya. Sebagai rakyat Malaysia, saya menjunjung semangat Perlembagaan dan Rukun Negara khususnya Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang.
Dalam laporan polisnya yang keenam, beliau mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang cuai menjalankan tugas pada PRU lalu.
“Saya minta KPN menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang bertugas pada masa itu disebabkan terbukti cuai, tidak amanah, tidak melaksanakan tanggungjawabnya dan membenarkan jenayah berlaku didepan matanya,” katanya lagi.
Sumber: KeadilanDaily
0 comments:
Post a Comment