Penganjur Himpunan Black 505 menyambut baik usaha pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan himpunan membantah keputusan Pilihan Raya 2013 berlangsung dengan aman, selagi tidak memusanahkan harta benda awam, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Semalam berlaku ketegangan diantara penganjur dengan pihak polis berhubung dengan perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke 13 itu.

"Saya telah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pihak polis akan membantu penganjuran perhimpunan esok hari, selagi peserta tidak memusnahkan harta awam," katanya.

Rafizi yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang banyak membantu, termasuk kesudian beliau untuk duduk berbincang walaupun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Kesediaan polis memberi kerjasama dan membantu penganjuran esok disahkan oleh ASP Ananthan Rajoo dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang mengakui telah menerima arahan atasan untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, seketariat penganjur juga telah berbincang dengan pasukan perubatan sukarelawan untuk memperhalusi persediaan perubatan sokongan memandangkan keadaan udara yang membimbangkan.

"Saya mengambil pandangan bahawa sejumlah besar orang ramai akan tetap hadir untuk menyertai perhimpunan pada esok hari tidak kira arahan yang diberikan oleh pihak sekretariat.

"Oleh yang demikian, keutamaan utama sekretariat dan pasukan perubatan sukarela adalah untuk memastikan bantuan perubatan sokongan adalah memadai untuk berhadapan dengan sebarang masalah, termasuklah bersabit kualiti udara yang tidak baik akibat jerebu," katanya lagi.

PDRM sebelum ini berkata pihaknya akan meminta bantuan pasukan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul andai Pakatan Rakyat (PR) meneruskan perhimpunan mereka di ibu negara Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid pasukan polis telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

"Setakat ini PDRM masih lagi mampu untuk kekalkan keamanan (negara). Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu tentera akan diminta turun membantu," katanya.

Dalam langkah memastikan keselamatan semasa situasi kecemasan, Rafizi berkata seketeriat dan pasukan perubatan sukarelawan dengan 55 anggota terdiri daripada doktor, jururawat dan paramedik akan ditempatkan ibu pejabat markas perubatan di Padang Merbok, manakala empat markas perubatan sokongan akan turut dibuka di sekitar laluan di Kuala Lumpur ke arah Padang Merbok, iaitu di Dataran Merdeka, Masjid Negara, Kompleks Sogo dan Dataran Maybank.

"Sebanyak empat ambulan dan lima motorsikal perubatan akan disediakan sekiranya ada keperluan untuk memindahkan pesakit terus ke hospital. Petugas bermotosikal akan memudahkan mereka bergegas ke kawasan yang memerlukan sokongan.

"Setiap markas perubatan akan dibekalkan dengan 'automated external defibrillator' atau AED bagi operasi menyelamatkan nyawa (jika diperlukan) dan ubat-ubatan/kemudahan 'drip'  bagi tujuan 'advanced life support (ALS)," katanya.

"Dengan persediaan polis dan bantuan sukarelawan perubatan, saya menggesa seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turun berkumpul bermula dari jam 12 tengahari esok. Sila bawa sekurang-kurangnya sapu tangan dan air mineral sebagai persiapan sekiranya masalah jerebu berpanjangan," katanya.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top