Tadika Baru Dibina Untuk Anak Peladang

KUALA SELANGOR - Penduduk di tiga kawasan ladang iaitu Ladang Bukit Belimbing, Ladang Bukit Talang dan Ladang Riverside kini berpeluang untuk menyekolahkan anak mereka di tadika yang sudah siap dibina.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), S C Jegathesan berkata, ini adalah salah satu langkah Kerajaan Negeri yang begitu prihatin terhadap rintihan masyarakat yang begitu mengutamakan pendidikan.

"Peruntukan tadika tersebut adalah daripada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar sebanyak RM48,500.

"Ianya siap dibina pada Januari lalu dan kini penduduk dapat menyekolahkan anak mereka bagi yang berusia empat, lima dan enam tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, selain itu juga, di hadapan tadika tersebut, turut dibina kawasan tapak permainan bagi memberikan peluang untuk kanak-kanak tersebut bermain apabila tamat persekolahan.

"Kawasan tersebut di tar dan ianya adalah peruntukan daripada Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sebanyak RM3,500."

"Dengan adanya kawasan luas ini, kanak-kanak dapat bermain dengan selesa," katanya.

Jegathesan berkata dia akan berusaha membantu masalah penduduk supaya mereka sentiasa diberikan perhatian.



Sumber: Sinar Harian, S19, 20 Ogos 2010

0 comments:

top