Satu Kematian Akibat H1N1 Hari Ini




h1n1 flu malaysia school children students wearing mask 260609 06Satu kematian dilaporkan hari ini, akibat jangkitan virus influenza A(H1N1), membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan, hari ini.

Lelaki tanpa sebarang faktor risiko itu mengalami gejala demam dan batuk selama enam hari sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak pada 27 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kematian terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 dalam negara ialah 82 orang.

Sementara itu lapan kejadian kelompok Penyakit Serupa Influenza (ILI) dilaporkan di lima negeri iaitu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Di Kuala Lumpur, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Utara Taman Shamelin Perkasa dan SK Taman Midah Cheras manakala di Negeri Sembilan pula membabitkan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari, Rembau serta satu keluarga di Taman Gemas Indah, Gemas.

Di Melaka pula, ia membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Key Seng Bukit Baru dan di Johor dilaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Johor dan Klinik Kesihatan Batu Pahat.

Satu kes yang dilaporkan di Selangor membabitkan Sekolah Islam Bersepadu Kota Damansara.

Dr Mohd Ismail berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes ILI yang masih dirawat di dalam wad seluruh negara 538 kes dan daripada jumlah itu 46 kes disahkan H1N1, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) seramai enam kes.

Beliau seterusnya mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan kerana penularan jangkitan H1N1 masih aktif di dalam komuniti.
Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top