SIBU 10 Mei - Usaha gigih jentera pilihan raya Pakatan Rakyat menembusi kubu Barisan Nasional serta memberi penjelasan kepada rakyat kini menampakkan hasil yang memberangsangkan pada hari ketiga kempen pilihan raya kecil P212 bandar Sibu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata sokongan kepada calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Wong Ho Leng menunjukkan peningkatan kepada 44 peratus berbanding 40 peratus sebelumnya.

Walau bagaimanapun Kit Siang berharap kerjasama erat daripada KEADILAN, PAS dan SNAP akan melonjakkan lagi sokongan rakyat beberapa hari menjelang hari pengundian pada 16 Mei depan.

"Saya lihat selepas hari kedua kempen PRK ini yang dilakukan oleh calon kita Wong Ho Leng dan juga parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti Parti Keadilan Rakyat dan juga PAS, telah menunjukkan peningkatan sokongan rakyat. Kita harus melipatgandakan usaha agar sokongan rakyat terus meningkat. 


"Pada hari ini saya jangkakan peningkatan sokongan sebanyak 44 peratus jika dibandingkan pada awal kempen yang hanya 40 peratus. Kalau momentum sokongan ini dapat dikekalkan selain gerak kerja jentera kempen dapat melakukan 'task force' yang lebih kepada masyarakat di sini saya yakin kita boleh memenangi PRK kali ini," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu kepada Suara Keadilan.

Beliau juga memberitahu SUPP-Barisan Nasional yang dilihat berpengaruh di Sibu satu ketika dulu kini ketandusan modal untuk menarik sokongan seteklah gagal memberi khidmat kepada rakyat sekian lama.

"SUPP yang merupakan sebuah parti yang berpengaruh di sini dilihat sudah hilang idea dan berada dalam kegelisahan bagi melihat momentum sokongan terhadap DAP.

"Mereka terpaksa menggunakan taktik kotor dan juga fitnah untuk menyakinkan rakyat agar memberi sokongan kepada mereka. Kita yakin rakyat sedar dan tahu apa yang mereka katakan kerana rakyat sekarang bukannya boleh dipermainkan lagi.

"SUPP perlu ingat rakyat sekarang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan mereka juga ada maruah diri. Bagi Pakatan kita akan terus bertemu dengan rakyat bagi menjelaskan agenda kita yang sebenar agar rakyat faham perjuangan kita," jelas beliau lagi.

0 comments:

top