PETALING JAYA 5 Mei - Pertubuhan antarabangsa mengenai hak asasi manusia, Amnesty International Kanada mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri supaya memastikan layanan terhadap Ketua Pembangkang berhubung kes fitnah II terhadap beliau selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Kegagalan berbuat demikian memungkinkan Malaysia tergolong dalam negara yang terkebelakang dalam perjuangan hak asasi yang progesif pada abad ke 21. kata badan itu dalam satu surat terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak pada 25 April lalu.

"Seperti yang anda maklum, situasi yang dialami oleh Ketua Pembangkang yang terkenal ini telah menarik perhatian antarabangsa terhadap Malaysia dan menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia.

"Sebagai Perdana Menteri, anda sudah tentunya mengetahui bahawa Kesatuan Antara Parlimen (IPU) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa perbicaraan Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat adalah longgar dan tempang. IPU telah mengambil keputusan untuk menghantar pemerhati kepada prosiding akan datang.


"Amerika Syarikat juga melahirkan niatnya untuk terus meneliti perbicaraan yang penuh dengan kontroversi ini. Begitu juga beratus-ratus peserta di Gerakan Dunia Untuk Demokrasi baru-baru ini termasuk bekas Perdana Menteri Kanada, Kim Campbell menandatangani petisyen mendesak perbicaraan yang adil dan telus bagi beliau.

"Lebih 50 ahli parlimen Australia juga menandatangani surat mendesak digugurkan perbicaraan tersebut," kata surat itu.

Amnesty International Kanada berkata disamping bantahan ditahap antarabangsa, kerajaan Kanada pada peringkat tertinggi juga menyatakan kebimbangannya.

Ini termasuk pegawai Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur yang mengadakan perbincangan dengan Anwar serta mengikuti prosiding perbicaraan dengan penuh minat.  

Mantan Perdana Menteri, Paul Martin juga telah menyatakan bantahan beliau di dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar 'Globe and Mail' serta mendesak pertuduhan terhadap Anwar digugurkan.

"Jurucakap Hal Ehwal Luar bagi Parti Liberal, Bob Rae, telah meminta Parlimen Kanada mengambil perhatian terhadap gangguan berterusan politk dan perundangan terhadap Anwar yang dianggap sekian lamasebagai tokoh demokrasi dan hak asasi di Malaysia dan meneruskan perjuangan walaupun dipenjarakan secara zalim.

"44 anggota parlimen daripada Parti Quebecois menandatangani petisyen (dalam bahasa Perancis) yang menyatakan sokongan serta kebimbangan terhadap pertuduhan yang dilemparkan kepada Anwar," tegas surat itu lagi.

Surat itu seterusnya menyatakan seramai 28 anggota parlimen daripada Parti New Democratic telah menyerahkan petisyen yang menyatakan rosaknya reputasi Malaysia berhubung hukuman penjara ke atas Anwar sebelum ini serta mendesak pertuduhan digugurkan.

Amnesty International Kanada berkata seruan agar Malaysia menghormati serta melindingu hak asasi telah dibuat secara serius sejak semakan terhadap prestasi negara oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2009.

Surat kepada Najib tersebut ditandatangi oleh koordinator bagi Singapura dan Malaysia, Margaret John dan salinannya kepada Pesuruhjaya Kanada ke Malaysia, Selwyn Das.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

top