SHAH ALAM 1 MEI: Sempena sambutan Hari Kebebasan Media pada 3 Mei ini, Kerajaan Selangor hari ini mengulangi komitmen untuk merealisasikan Akta Kebebasan Maklumat sebagai sokongan kepada kebebasan media.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri dalam keterbatasan kuasa, tetap akan membawa usul Akta Kebebasan Maklumat.

Kesal dengan indeks kebebasan media yang hanya lebih baik dari Zimbabwe dan Nigeria, Khalid percaya pelaksanaan kebebasan media memerlukan kesungguhan politik (political politic) dan kerajaan Selangor sudah membuktikan komitmen.

Kesungguhan kerajaan negeri terbukti apabila mendedahkan beberapa dokumen yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi, apabila ia dikelaskan semula menggunakan peruntukan kuasa Menteri Besar Selangor.

Khalid mengakui wujud kes kebebasan media digunakan secara tidak bertanggungjawab tetapi tetap mengutamakan kebebasan meaid sebagai pemantau sistem eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Namun, beliau yakin media yang bebas dapat membantu kerajaan meningkatkan prinsip yang didukung kerajaan negeri iaitu urus tadbir yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Mengikut indeks yang dikeluarkan Reporters Without Borders, prestasi kebebasan media di Malaysia pada 2009 menunjukkan kedudukan negara ini kian merosot iaitu 39.05 mata kepada 44.25 mata.

Ini bermakna kedudukan Malaysia hanya lebih baik daripada Zimbabwe dan Nigeria sahaja, itu pun dengan lebihan dua mata sahaja.

Bagaimanapun, prestasi Malaysia meningkat satu anak tangga dari 132 pada tahun 2008 kepada kedudukan 131 pada tahun 2009.

Perangkaan organisasi antarabangsa itu bukan sesuatu yang mengejutkan rakyat Malaysia lantaran sekatan ke atas media di negara ini semakin lama semakin mencengkam.

Terbaru, penerbit di stesen NTV7, Joshua Wong meletak jawatan berikutan tekanan politik kerajaan Malaysia termasuk peranan yang didakwa didalangi Datin Seri Rosmah Mansor.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top