Pakatan Tetap Teruskan Perhimpunan 9 Januari

Walaupun polis melarang semua pihak berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, Pakatan Rakyat akan tetap menggerakkan penyokongnya hadir memberikan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi kes tuduhan liwat.

"Insya-Allah, saya, seluruh pimpinan (Pakatan) dan seluruh rakyat Malaysia akan hadir menyatakan sokongan dan bersama-sama Datuk Seri Anwar pada hari tersebut," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Bercakap selepas memberi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pusat, ahli Parlimen dan ADUN PKR hari ini, Azmin menegaskan Pakatan akan menggerakkan 100,000 penyokong pada hari itu.

Katanya, walau apa pun keputusan yang diumumkan, Pakatan dan PKR telah bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat.

"Justeru saya memberi jaminan bahawa kepimpinan PKR akan terus menerajui agenda rakyat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, semua ahli parlimen dan ADUN PKR termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman.

Mengulas lanjut berhubung perhimpunan itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata PAS juga memberi jaminan dan pengakuan bahawa parti itu akan menggerakkan penyokongnya dalam perhimpunan pada hari tersebut.

Bincang dalam Majlis Presiden Pakatan

Katanya, jaminan tersebut diberikan selepas beliau berkomunikasi dengan setiausaha agung PAS Datuk Mustaffa Ali, yang tidak dapat hadir ke taklimat tersebut kerana terpaksa menghadiri mesyuarat Dewan Harian PAS hari ini.

Ditanya berhubung sokongan DAP pula, Azmin berkata Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Md Akin sedang berkomunikasi dengan pemimpin DAP.

"Saya (juga) akan berbincang (perkara ini) dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini dan taklimat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu Dr Abd Rani berkata beliau berharap "tidak ada masalah" akan timbul pada perhimpunan 9 Januari ini.

Bahkan, beliau berharap pihak polis dapat mengawal keselamatan dan keadaan pada hari tersebut.

"Kalau polis Arab Saudi boleh mengawal tiga juta jemaah haji, takkan PDRM tak boleh... Jadi tak ada masalah, kita protes secara aman.

"Saya nasihatkan (rakyat) jangan bawa senjata tajam," katanya sambil mengerahkan semua kawasan PAS di Selangor menghantar "seramai mungkin" anggota pada perhimpunan tersebut.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top