Masalah Sampah Selesai 24 Jam Selepas Aduan

SHAH ALAM, 11 JAN : Setiap aduan berkenaan masalah sampah yang dilaporkan ke talian bebas tol 1800-88-2824 akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, talian bebas tol itu akan mula dikuatkuasakan pada 17 Januari depan dan beroperasi seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang.

"Selepas daripada pukul 6 petang, talian ini masih beroperasi seperti biasa tetapi ia direkodkan. Pengadu hanya perlu memberitahu di mana lokasi, masa dan sebagainya.

"Saya juga ingin meminta pengadu atau orang awam untuk memberi maklumat spesifik (lengkap) di mana berlakunya masalah kutipan sampah selain dinasihatkan untuk meninggalkan nombor telefon (pengadu) supaya pengurus pusat aduan boleh menghubungi mereka semula," jelasnya.

Masalah pungutan sampah dan sisa pepejal di Selangor menjadi isu hangat apabila penduduk mendakwa kegagalan kontraktor menjalankan tugas selepas kerajaan negeri melalui PBT mengambilalih kerja-kerja pembersihan di negeri ini daripada Alam Flora Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memaklumkan, perkhidmatan talian bebas tol akan membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mahupun cadangan mengenai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.

Beliau berkata, talian ini akan dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal Selangor di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurut Menteri Besar apabila pusat aduan ini beroperasi nanti, PBT akan dapat mengetahui peratusan aduan mengenai sampah yang diterima.

Jelasnya, dengan maklumat yang diperolehi, PBT akan menggunakan semua maklumat ini untuk membaiki dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat terutama yang melibatkan pengurusan sisa pepejal.

Langkah ini juga kata Menteri Besar, membolehkan rakyat menyalurkan maklumat berkenaan perbuatan khianat terhadap urusan sampah di negeri ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang bantahan yang dikemukakan Persatuan Sisa Pepejal dan Pembersihan Hulu Langat (protem) bersama 70 kontraktor lain terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana menawarkan tender baharu kepada orang luar, Ronnie berkata, perkara itu perlu dilaksanakan mengikut proses tender.

Katanya, dakwaan kontraktor terbabit bahawa tindakan yang dilaksanakan MPKj itu adalah semata-mata mahu mengambil syarikat kroni dan parti politik tertentu dan mengetepikan peranan mereka dalam urusan pungutan sampah dan sebagainya juga adalah tidak benar.

"Semua kontraktor perlu mengikuti proses tender, supaya ia adil. Saya rasa mereka bimbang mereka tidak dapat menyertai proses tender. Bagaimanapun, tidak semestinya kontraktor yang menyertai proses tender akan diberikan kontrak.

Mereka perlu mengikuti beberapa kriteria dan memberi kerjasama dengan kerajaan negeri serta PBT. Satu sistem yang adil akan dilaksanakan," katanya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top