SHAH ALAM, 3 JANUARI : Isu berhubung himpunan 901 sempena dengan pengumuman kes fitnah Liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sama sekali tidak bercanggah dengan undang-undang negara malah dibenarkan oleh Perlembagaan.

Ini kerana himpunan yang bakal diadakan itu sekadar perhimpunan untuk memberi sokongan kepada DSAI yang dibicarakan semenjak hampir 3 tahun lalu berhubung konspirasi untuk mengaibkan Anwar di mata rakyat oleh musuh-musuh politik beliau.

Menurut Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee tidak tertulis di mana-mana perlembagaan pun bahawa kehadiran sebagai tanda sokongan kepada tertuduh di mahkamah adalah satu kesalahan.

“Mahkamah adalah tempat terbuka kepada orang ramai untuk hadir mendengar perbicaraan.

“Malah orang ramai mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah apa lagi untuk memberi sokongan kepada tertuduh selain mendengar keputusan yang akan diberikan,” ujar Lim memberi ketika dihubungi TV Selangor.

Lim turut memberitahu bahawa jumlah yang akan hadir ke perhimpunan itu nanti bukan satu isu untuk dijadikan alasan pihak berkuasa bahawa perkara tidak diingini akan berlaku.

“Sebaliknya jika pihak polis memberi kerjasama mengawal keadaan, saya tidak melihat sebarang masalah untuk rakyat yang prihatin berhimpun memberi sokongan kepada sesiapapun yang mereka ingini,” tegas Lim yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Berhubung dakwaan seorang menteri bahawa Majlis Peguam menjadi alat politik, Lim pantas menjelaskan itu bukan isu yang perlu dibangkitkan.

“Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak atau individu. Sebagai pengamal dan penegak perundangan kami cuma berminat pada asas perundangan iaitu keadilan yang menjadi hak setiap manusia,” katanya lagi.

Lim turut membangkitkan sikap ‘Double Standard’ pihak berkuasa dalam menangani isu-isu seperti ini bilamana perhimpunan yang membabitkan PKR seringkali diprovokasi dengan isu keselamatan.

“Sikap double standard ini sangat mendukacitakan malah menjatuhkan karisma, keupayaan dan professionalisme pihak berkuasa polis dalam menjalankan tugas mereka.

“Sambutan Tahun Baru dihadiri oleh puluhan ribu rakyat dibolehkan dan dapat berlaku dengan baik hasil kerjasama pihak berkuasa juga. Tapi mengapa pula kes seperti ini yang tidak pun melanggar mana-mana undang-undang dijadikan isu?,” soal Lim kembali.

Lim dengan positif juga menyatakan bahawa mereka yang akan hadir 9 Januari ini pasti terdiri dari golongan yang cintakan perundangan yang adil dan tidak akan sesekali mencetuskan huru-hara walau apapun keputusan mahkamah seperti yang cuba digemburkan sesetengah pihak.

“Saya harap orang ramai akan hadir memberikan sokongan kepada DSAI. Himpunan ini penting bukan sekadar membela DSAI semata-mata sebaliknya penting kepada orang awam juga berkenaan sistem perundangan negara yang semakin parah.

“Hadirlah beramai-ramai untuk menunjukkan bahawa rakyat hari ini sudah bosan dan jemu dengan konspirasi dan fitnah seperti ini dan rakyat menolak sebarang ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku,” ujar Lim lagi.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top