TV Selangor, 1 Mei 2009, Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Kementerian Pendidikan yang terus mengekang usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat membangun dan meningkatkan mutu pendidikan di sekolah-sekolah.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr. Xavier Jayakumar berkata, sekolah-sekolah kini dalam keadaan resah dan keliru selepas Kementerian mengeluarkan arahan bahawa hanya pemimpin Barisan Nasional boleh dijemput hadir pada majlis anjuran sekolah berkenaan.

Menurut pekeliling berkenaan, hanya pemimpin dari parti-parti seperti UMNO, MCA dan MIC yang boleh dijemput untuk majlis sekolah.

Arahan kepada guru besar dan pengetua sekolah yang dikeluarkan pada Mac lalu, jelas untuk mengekang usaha Pakatan Rakyat membantu sekolah dari segi kemudahan infrastruktur dan kewangan.

"Kita akan adakan satu perjumpaan dengan Kementerian Pendidikan dan kita akan suruh ahli-ahli parlimen kita bawa isu ini ke parlimen untuk bertanya mengenai surat pekeliling ini," kata Dr. Xavier. "Ini adalah tindakan yang tidak baik dan tidak wajar dilakukan," menurut beliau lagi.

Arahan itu khususnya memberi kesan mendalam kepada sekolah Tamil yang banyaknya dalam keadaan daif tetapi diabaikan oleh kerajaan persekutuan.

Semalam Kerajaan Negeri Selangor menyampaikan sumbangan 100 kerusi dan meja kepada SRJK Tamil Serdang, selepas meyakinkan pengurusan sekolah bahawa ia tidak perlu khuatir menerima bantuan kerajaan Pakatan Rakyat.

Meskipun diberikan penjelasan demikian, sekolah itu memohon pihak media, khususnya TV Selangor untuk tidak merakamkan majlis penyerahan bantuan kerusi meja untuk murid-murid terbabit.

Dr Xavier berkata Kementerian Pelajaran tidak harus menghalang kerajaan negeri memberikan bantuan atau kerjasama dengan sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik dan ko-kurikulum pelajar semua aliran sekolah.

Beliau berkata di Selangor, pencapaian pelajar sekolah Tamil khususnya membimbangkan dan semua pihak harus matang mengenepikan perbezaan politik dan membantu membetulkan keadaan.

"Penduduk di negeri Selangor membayar cukai tertinggi di Malaysia, dekat 40 peratus oleh penduduk dan peniaga. Ini harus dikembalikan semula kepada penduduk Selangor, dalam bentuk bantuan kepada sekolah termasuk sekolah tamil," kata Dr Xavier.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan memberi perhatian penuh kepada Sekolah Tamil kerana lebih 40 peratus gagal dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) setiap tahun.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor sedang cuba mengatur perjumpaan dengan pihak kementerian untuk merumuskan pendekatan berkesan bagi membantu pelajar terbabit.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan 10 juta ringgit sebagai bantuan kepada sekolah agama rakyat, sekolah cina dan sekolah tamil.

Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru SRJK Tamil Serdang, T Selvan berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan Pakatan Rakyat untuk sekolah ini.

Dan beliau menzahirkan harapan pihak Kementerian.

0 comments:

top