Rumah Terbengkalai Punca Aedes

Xavier berkata, notifikasi mingguan penyakit demam denggi menunjukkan tren menurun daripada awal tahun ini tetapi langkah kawalan penyakit masih perlu dijalankan dengan intensif.

"Dalam tempoh enam bulan lalu, kes telah berjaya diturunkan sehingga 50 peratus, yang mana sebelum ini terdapat lebih 800 kes seminggu tetapi kini hanya 400 kes diterima dalam tempoh seminggu."

"Tindakan segera juga akan diambil selepas pihak kami menerima maklumat dan pemantauan juga akan dilakukan dalam usaha menurunkan kes denggi di kawasan berkenaan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Menurutnya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengadakan beberapa operasi khas kawalan demam dari masa ke masa seperti Operasi Mega (Mac 2009) dan Operasi Bersepadu pada hujung minggu di Daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

"Penglibatan masyarakat juga diberi tumpuan khas iaitu dengan mengadakan sesi perbincangan kawalan penyakit demam denggi dengan jawatankuasa yang mewaklil persatuan penduduk."

"Ini penting kerana langkah jangka masa panjang untuk mengatasi masalah penyakit demam denggi adalah dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di rumah, tempat kerja dan kawasan sekeliling."

"Tindakan pencegahan ini selari dengan saranan utama Kementerian Kesihatan Malaysia supaya komuniti tempatan mengambil tanggungjawab untuk memastikan tempat tinggal dan tempat kerja mereka bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes dengan meluangkan masa 10 minit sahaja setiap minggu untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, katanya, sehingga pertengahan Mei ini, sebanyak 2,589 kompaun dikeluarkan dan sejumlah RM370,375 kutipan berjaya dikumpulkan.

"Kompaun yang dikeluarkan melibatkan rumah kediaman / kedai (2,289), kilang (113), tapak binaan (58), sekolah (38), pejabat kerajaan (6), tempat ibadat (1), dan kawasan lain (84)."

"Kini kita tidak lagi memberikan amaran atau memberikan mereka tempoh untuk melakukan pembersihan sebaliknya terus mengeluarkan kompaun."

"Sekiranya mereka gagal memastikan kawasan mereka bebas denggi dalam pemeriksaan kali kedua, tindakan yang akan diambil adalah menyita premis berkenaan kerana arahan yang jelas telah dikeluarkan," katanya.

Mengulas mengenai projek terbengkalai yang turut menyumbang kepada peningkatan kes denggi di negeri ini, beliau berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad untuk mengatasi perkara itu.

"Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak projek pembinaan terbengkalai di negeri ini dan beberapa program telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah berkenaan."

"Tetapi menurut Jabatan Kesihatan, tempat itu dikawal dan sekiranya terdapat laporan, kita akan masuk ke kawasan berkenaan dan melakukan pembersihan serta pemantauan, katanya.

Menurut Xavier, peruntukan tambahan sebanyak RM3.5 juta diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan program khas di kawasan yang mempunyai kes denggi tertinggi di negeri ini.

"Kes denggi tidak dapat dihapuskan tetapi kita mampu mengurangkannya. Namun apa yang penting adalah masyarakat perlu memahami situasi serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.

Sumber Berita: Sinar Harian, 19 Mei 2009, S3




0 comments:

top