Taman Sentosa, 23 Mac 2012 - YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini meluangkan masa melawat seorang pelajar, Navin A/L Ravi yang telah mencatatkan keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan SPM.

Keputusan cemerlang yang diperolehinya itu merupakan sejarah pencapaian SPM buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun sekolah SMK Kampung Jawa.

Navin yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor juga meminati bidang kejuruteraan kimia merupakan seorang pelajar yang rajin dan berdedikasi. Bapanya telah lama sakit dan tidak bekerja dan hanya menerima pendapatan daripada SOCSO serta ibunya bekerja sebagai operator. Navin mempunyai 2 orang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

Dua tahun yang lepas YB Dr xavier telah memberikan sumbangan basikal untuk membantu Navin memudahkan perjalanan ke sekolah. Navin juga telah menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti kelas Tuisyen Rakyat setiap hari Ahad. Program Tusiyen Rakyat adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor memberikan kelas tuisyen secara percuma kepada pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang layak.

YB Dr Xavier Jayakumar berbangga dengan kejayaan yang dicapai Navin dan berharap lebih ramai pelajar mengutamakan pelajaran mereka dan mengambil peluang dengan program-program pendidikan dan bantuan yang diberikan kerajaan negeri. YB Dr Xavier percaya dengan pendidikan yang baik, taraf sesebuah keluarga dapat ditingkatkan.

Sebagai menghargai kerajinan yang ditunjukkan Navin dan untuk menggalakkannya meneruskan kecemerlangan, YB Dr Xavier telah menghadiahkannya RM500.


0 comments:

top