SHAH ALAM 19 OKT: Kerajaan Negeri Selangor tidak akan akur kepada tekanan yang dibuat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk memberi keutamaan kepada pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mengulangi pendirian bahawa rundingan penstrukturan semula industri air Selangor harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum usaha pembinaan loji Langat 2 diteruskan.

"Adalah amat tidak bermoral bagi pihak-pihak tertentu untuk membuat kenyataan menakut-nakutkan rakyat kononnya krisis air akan berlaku pada 2014 jika Langat 2 tidak dibina dengan segera," katanya dalam sidang media.

Menurut Menteri Besar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berulang kali mengatakan bekalan air mentah lebih dari mencukupi di kesemua tujuh empangan Selangor.

Jika ada masalah bekalan air, ia berpunca dari kekurangan bekalan air bersih yang disebabkan oleh kegagalan SYABAS untuk menyediakan rezab air bersih yang mencukupi.

"SYABAS tidak menjalankan penyelenggaraan terhadap loji-loji pembersihan dengan efektif serta gagal mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada tahap yang cukup rendah.
"Sebaliknya mereka terus menekan kerajaan negeri untuk membenarkan pembinaan Langat 2 seolah-olah ia dapat menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh kelemahan mereka sendiri," katanya.

Tambah Abdul Khalid, kerajaan negeri hanya akan membenarkan Loji Langat 2 dibina selepas Kerajaan Pusat menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air yang merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

"Bagi memastikan rakyat memahami hasrat Kerajaan Negeri, kami akan melancarkan fasa ketiga "Kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" yang akan membongkarkan usaha untuk membelakangan rundingan penstrukturan semula industri air negeri untuk keuntungan pihak yang berkepentingan.

Kempen fasa ketiga ini akan bermula dalam waktu terdekat dan lebih menyeluruh serta melibatkan semua pimpinan Pakatan Rakyat kerana isu ini melibatkan hak dan kepentingan rakyat," katanya.

Abdul Khalid berkata lagi, bagi memastikan hak rakyat terpelihara, kerajaan negeri tidak akan membenarkan kenaikan tariff air seperti yang dipohon oleh SYABAS untuk tahun hadapan. Kerajaan Negeri melantik juru audit bagi mengaudit operasi SYABAS untuk menyemak dan mengesahkan kerja-kerja yang dilaksanakan SYABAS seperti penggantian paip dan sebagainya.

"Kerja audit ke atas SYABAS ini akan dilaksanakan oleh dua firma perakaunan antarabangsa iaitu Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mempersoalkan keghairahan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menyiapkan projek itu dengan segera, sebelum isu penstrukturan semula industri air diselesaikan bagi memastikan harga air pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan rakyat.

LUAS pula dilihat mengesa Syabas untuk melihat teknologi terkini untuk merawat sumber air dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji-loji sedia ada bagi menambah kapisiti loji pembersihan tersebut.

Kerajaan negeri mengambil pendirian projek Langat 2 tajaan Putrajaya adalah terlalu mahal dan tidak perlu disegerakan kerana bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top