SHAH ALAM 20 OKT : Kerajaan Selangor sedang meningkatkan program pembangunan kemahiran bagi belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata fokus kerajaan negeri kini adalah untuk membentuk pembangunan belia supaya ia sejajar dengan pembangunan negeri Selangor yang sedang berkembang pesat.

Ini kerana jelasnya, kebanyakan belia yang berjaya memasuki IPT hanyalah kira-kira 30 peratus sahaja, manakala selebihnya tidak berjaya menerima sebarang tawaran.

Oleh demikian katanya, pelbagai usaha perlu diketengahkan bagi membantu golongan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ini ke peringkat lebih tinggi.

"Kerajan Selangor telahpun membuat sebuah program kecil dengan membangunkan sekolah atau institusi kemahiran yang boleh membantu golongan belia mengasah bakat atau kemahiran, contohnya Kolej Inpens.

Selain itu, semasa membuat lawatan ke Jerman, saya telah berbicang untuk memberi peruntukan kepada pelajar yang tidak menerima peluang melanjutkan pelajaran ke IPT atau IPTS untuk mengikuti kursus dari segi kemahiran di syarikat Jerman di Malaysia supaya mereka dilatih dan mendapat sijil kemahiran," katanya.

Tambah Abdul Khalid, melalui cara itu persaingan bagi mendapatkan pekerjaan dengan pekerja asing dapat dikurangkan atau dielakkan.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab soalan wakil kesatuan sekerja berhubung peluang pekerjaan yang ditawarkan kerajaan negeri kepada golongan belia terutaman pelajar lepasan SPM serta IPT dan IPTS.

Majlis itu dihadiri kira-kira 30 wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sempena Luncheon Talk di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini tengah hari tadi.

Majlis Luncheon ini adalah lanjutan daripada pertemuan Menteri Besar bersama MTUC Selangor yang hadir menyerahkan memorandum berkaitan penubuhan Majlis Buruh Selangor.

Ia bertujuan untuk membincangkan pelbagai isu dan cabaran yang dikemukakan MTUC sebelum memorandum tersebut dimuktamadkan.

Sementara itu, bagi graduan lepasan IPTA atau IPTS, Abdul Khalid menjelaskan kerajaan Selangor turut menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang boleh membantu mereka mencari pekerjaan yang bersesuaian.

"Saya telah melancarkan satu program yang dikendalikan oleh Kumpulan Perangsang dengan menjemput graduan universiti untuk mengetahui kerjaya yang sesuai dengan memberi latihan antaranya cara bercakap dan cara memperkenalkan pendapat kerana ia mempengaruhi pilihan pekerjaan selain berupaya membina jati dan keyakinan diri," ujarnya.

Untuk tujuan itu katanya, lebih RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membantu dan memberi maklumat serta kemahiran kepada graduan yang belum mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun tegas beliau, usaha ini perlu dipergiatkan oleh segenap lapisan masyarakat bagi memastikan ia dapat berjalan lancar.

0 comments:

top