SHAH ALAM 20 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, pengurusan kutipan sisa pepejal yang diambil alih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari Alam Flora mulai 16 Oktober lalu berjalan lancar dan menerima aduan positif daripada penduduk.

Menteri Besar berkata, ia sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan PBT gagal melaksanakan urusan kutipan sisa pepejal dengan baik.

Tambahnya, kerajaan negeri akan memantau kerja-kerja kutipan sisa pepejal yang dilakukan PBT dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Satu berita yang amat memuaskan ialah semua PBT telah dapat menjalankan tugas dengan baik dalam dua aspek, iaitu pengangkutan sampah dan pembersihan.

"Kedua-dua tugasan ini adalah di bawah bidang kuasa PBT dan saya mula menerima laporan harian daripada mereka yang mengatakan mereka mampu menjalan-kan tugasan dengan baik," jelasnya.

Sementara itu, Exco Selangor, Ronnie Liu turut memaklumkan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) baharu-baharu ini telah membuat keputusan untuk menambah kerja-kerja kutipan sisa pepejal daripada tiga kali seminggu kepada empat kali seminggu.

Manakala kutipan sampah di kawasan-kawasan yang diiktiraf sebagai Zon Bersih akan dilakukan setiap hari.

"Orang ramai diminta supaya bekerjasama dengan PBT dengan membungkus sampah-sampah di dalam beg plastik untuk memudahkan urusan kutipan sampah.

"Manakala pada hari yang tiada kutipan sampah, simpan dulu sampah itu di tempat yang sepatutnya," katanya.

Kerajaan negeri mengesa rakyat Selangor mengemukakan sebarang aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing, sekiranya ada masalah berkaitan pengu-rusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top