Bekalan Air Selangor Mencukupi Sehingga 2014

SHAH ALAM 16 MEI:  Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan Selangor tidak akan mengalami krisis air sehingga menjelang 2014 seperti mana yang didakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui kenyataannya di akhbar tempatan semalam.

Sebaliknya, Selangor mempunyai bekalan simpanan air yang mencukupi serta tidak akan ada defisit sebagaimana yang dilaporkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin ketika dihubungi TV Selangor berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah mengeluarkan beberapa kenyataan mengenainya dan menegaskan Selangor tidak akan mengalami krisis air untuk jangka masa empat hingga lima tahun akan datang.

“Kerajaan negeri Selangor boleh memberi jaminan pada dia (Menteri KeTTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui) bahawa kita mempunyai data-data dan maklumat yang cukup untuk menyatakan Selangor tidak akan mengalami krisis air, tidak untuk empat tahun yang akan datang mahupun lima tahun yang akan datang, malah pada 2014 kita masih mempunyai jumlah air yang mencukupi," tegasnya.


Katanya, berdasarkan kajian yang dibuat apa yang berlaku kini adalah kemudahan sedia ada seperti loji dan paip tidak dimanfaat sepenuhnya oleh pengguna pada kadar yang sepatutnya.

“Kita sudah keluarkan kenyataan bahawa kekurangan bekalan air di Selangor bukan kerana tidak ada air, sehinggakan kita perlu membeli air dari Pahang dan sebagainya. Kekurangan bekalan air di Selangor berpunca daripada keadaan dimana loji-loji air tidak dimanfaatkan sepenuhnya serta paip-paip tidak diselenggara dengan baik dan ia telah kenal pasti,” katanya.

SPAN semalam dilaporkan berkata margin simpanan air di tiga wilayah utama iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pengurangan ketara dari setahun ke setahun.

Pengurangan di tiga wilayah utama itu juga dijangka akan berkurangan sebanyak enam peratus (263 JLH sehari) pada 2010 kepada 4.98 peratus (221 JLH) pada 2011, 5.25 peratus (244 JLH) pada 2012 dan kepada 0.4 peratus atau 19 JLH pada 2013.

SPAN turut menjangkakan menjelang akhir 2014 margin simpanan air ini akan mengalami defisit sebanyak 217 JLH dan jumlah defisit ini akan meningkat kepada 460 JLH  pada 2015 dan ia berada pada tahap kritikal.

Mengulas lanjut perkara itu, Faekah berkata, berdasarkan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sebelum ini, Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Air Selangor telah membuat pembentangan kertas kerjanya berhubung perkara tersebut dan tindakan daripada pihak bertanggungjawab termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang dibuat.

Jelas Faekah lagi, kebimbangan itu seharusnya tidak timbul kerana Peter Chin sebalinya perlu mengambil tindakan tegas berhubung kerja-kerja penstrukturan semula air bagi negeri Selangor yang ketika ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Tambah Faekah, ini kerana Kerajaan Negeri Selangor telah menyatakan segala tawaran serta cadangan yang dikehendaki pihaknya dan hanya menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Pusat sahaja.

“Sebagai menteri air (Peter Chin) dia sepatutnya melihat perkara ini secara holistik dan bukannya melihat bagaimana nak buat projek di Sungai Langat sahaja” ujarnya lagi.



Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top