MTUC Gesa Kerajaan Kawal Dana Pencen Swasta

SHAH ALAM 20 OKT : Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud berkata, kerajaan yang seharusnya mengawal Dana Pencen Swasta, bukan dengan menyerahkan kepada pihak ketiga untuk menguruskannya.

"Syarikat-syarikat yang menguruskan Dana Pencen Swasta ini, matlamat mereka adalah untuk membuat laba atau keuntungan. Jadi, keutamaannya ialah keuntungan," kata Syed Shahir. "Jika berlaku sesuatu, siapa yang akan menanggung? Sudah tentu negara.

Jika negara yang perlu menanggung, tiada maknalah perkara (Skim Pencen Swasta) ini. Lebih baik negara yang buat," jelasnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika dihubungi TV Selangor bagi mendapatkan pandangannya berkenaan rancangan kerajaan untuk menggalakkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur di dalam Dana Pencen Swasta.

 "Pengalaman yang berlaku di beberapa negara seperti Argentina, Chile malahan di Amerika sendiri apabila Skim Pencen Swasta ini gagal.

 "Ertinya bila ia menghadapi masalah, maka pemerintah terpaksa mengambil alih dan menanggung apa juga beban yang ditanggung oleh syarikat-syarikat ini, kerana untuk kepentingan-kepentingan pencarum," jelasnya. 

Dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan pelancaran dana tersebut yang dijangkakan pada tahun hadapan.

Turut diumumkan ialah pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 kepada mereka yang mencarum kepada dana itu, termasuk oleh mereka yang bekerja sendiri.

Justeru, Syed Shahir menyuarakan kebimbangan, kerana beliau mendakwa cadangan ini akan mendatangkan kesulitan pada masa hadapan kepada pencarum.

 "Caruman KWSP ini adalah simpanan hari tua. Apabila pekerja habis sahaja tempoh perkhidmatannya, ada simpanan untuk dia lanjutkan kehidupannya. Tetapi itu pun masih tidak cukup, kerana caruman kurang.

Bagaimana carumannya kurang, kerana gajinya rendah," tambahnya. "Apa yang sepatutnya diutamakan adalah perkhidmatan kesihatan, pendidikan, jaminan sosial termasuk keselamatan. Ini adalah tanggungjawab negara kepada rakyatnya," jelas Syed Shahir.


Sumber: TVSelangor

0 comments:

top