Yang Berhormat Tuan Dr. Xavier Jayakumar, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.
Yang Berhormat Tuan Dr. Mohd. Nasir Hashim, Ahli Dewan Negeri Selangor, Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Forum Penyelesaian Masyarakat Pekerja Ladang.
Yang Berhormat M.K. Arumugam, Ahli Dewan Negeri Kawasan Rahang, Negeri Sembilan.
Yang Berbahagia Encik Pasupathi A/L Sithamparam, President EWRFXavuear.
Yang Berbahagia Puan Sumitha, Wakil Bar Council.
Yang Berusaha En. Thamasegaran, Setiausaha NUPW Negeri Selangor.
Yang Berbahagia Encik Khamdan bin Samsi, Pengurus Kanan Kilang Berjayacity Sdn. Bhd.
Yang Dihormati Para Pembentang Kertas Kerja dan Para Pembahas.
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Para Pemimpin Masyarakat, Wakil-Wakil Media Massa, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
(1) Syukur Alhamdulillah, kerana pada hari yang berbahagia ini kita dapat sama-sama hadir dalam forum yang membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat pekerja ladang di negeri Selangor.
(2) Kita beruntung kerana beberapa kertas kerja bakal dibentangkan oleh pakar-pakar kemasyarakatan dan kemudiannya dijangka dibahaskan oleh para peserta forum dan hadirin yang prihatin. Permasalahan tentang kemiskinan, kesihatan dan pendidikan masyarakat pekerja ladang merupakan antara isu-isu yang perlu dibincangkan dan diselesaikan. Pihak Kerajaan Negeri pula bersedia memikirkan jalan penyelesaian demi manfaat masyarakat pekerja ladang dan negeri Selangor seluruhnya.
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-puan yang Berbahagia,
(3) Kita maklum, selepas Perjanjian Pangkor tahun 1874, yang memberi kuasa kepada sejumlah Residen British untuk mentadbir urus negeri-negeri di Malaya atau Tanah Melayu, penduduk negara ini ditandai oleh taburan pemastautinan. Majoriti kaum Melayu bermastautin dan mencari nafkah di kampung dan bendang; majoriti kaum Cina di kawasan perlombongan bijih timah dan bandar; manakala majoriti kaum India di ladang dan estet.
(4) Sehingga selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka daripada penjejahan British pada 31 Ogos 1957, senario kependudukan itu tidak banyak berubah, sehinggalah di ambang tahun 1970-an, kesan pendidikan kebangsaan menyebabkan semakin ramai anak-anak Melayu berhijrah dan bekerja di bandar-bandar. Di bandar-bandar di beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu, malah kaum Melayu mengatasi jumlah kaum Cina dan India.
(5) Namun begitu, bagi masyarakat pekerja ladang, situasi nisbah penduduk nampaknya tidak banyak berubah. Sejak ratusan tahun, hasil ladang seperti getah, kelapa sawit dan kopi merupakan sumber kewangan dan punca pekerjaan yang utama bagi rakyat Malaysia yang majoritinya berketurunan India.
(6) Kita mengenal beberapa ladang, antaranya Ladang Semenyih, Ladang Bangi, Ladang Denudin, Ladang Abaco dan Ladang Glengowrie. Hasil ladang kesemuanya bukan sahaja berjaya membina topografi baharu bagi negara kita malah mewujudkan ciri-ciri budaya baharu dalam sosio-ekonomi dan politik negara kita ini.
Para Hadirin yang Dihormati,
(7) Sumbangan masyarakat pekerja ladang yang sebahagian besarnya daripada kaum India ini, sebenarnya membantu membangunkan negara dan menolong memperkayakan kalangan pemilik ladang. Malangnya, sehingga hari ini para pekerja ladang terus hidup dihimpit dalam garisan kemiskinan.
(8) Walaupun kini, ramai pekerja ladang semakin didominasi oleh buruh asing, khususnya dari Indonesia dan Bangladesh, namun kita tidak wajar melupakan pengorbanan rakyat kita berketurunan India dalam hal membangunkan industri ladang-ladang yang sekali gus memajukan negara kita.
(9) Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk memperbaiki kedudukan ekonomi saki baki masyarakat ladang di negeri Selangor. Kini Kerajaan Negeri Selangor giat membantu untuk memajukan kehidupan kalangan pekerja ladang daripada segi ekonomi dan sosial.
(10) Umpamanya, Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan jawatankuasa khusus bagi menguruskan penyaluran bantuan kepada pekerja ladang yang berpendapatan RM1500 sebulan, khususnya bagi pendidikan anak-anak mereka. Yang Berhormat Tuan Dr. Xavier bertanggungjawab menyelaraskan tugas ini termasuk penubuhan tabung pendidikan.
(11) Tabung pendidikan diwujudkan bagi memberi bantuan anak-anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna. Bantuan yang diberikan dalam bentuk biasiswa kepada anak-anak pekerja ladang melanjutkan pelajaran. Tabung ini juga membiayai pembinaan dan penyelanggaraan asrama bagi anak-anak pekerja ladang di seluruh negeri Selangor. Peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan untuk melaksanakan program ini.
(12) Bagi tahun 2009 sahaja, bantuan penyelenggaraan bangunan sekolah, pembelian peralatan dan kemudahan sekolah serta pembinaan pondok bacaan.
Para Hadirin yang Berbahagia,
(13) Kerajaan Negeri Selangor juga memberi latihan kemahiran percuma kepada anak-anak pekerja ladang dalam bidang industri mekanikal dan teknologi. Misalnya, sehingga kini seramai 130 anak pekerja ladang sedang mengikuti kursus peringkat diploma di kolej Inpens.
(14) Di samping itu, Kerajaan Negeri sedang merangka usaha untuk membantu pimilik-pemilik ladang menggalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan masyarakat ladang melalui penternakan kambing dan lembu untuk daging dan susu, dan penanaman sayur-sayuran untuk sara hidup.
(15) Langkah ini jika laksanakan, adalah sebagai usaha untuk mengurangi penggunaan pekerja asing yang kian meningkat jumlahnya di sektor perladangan di negeri Selangor khususnya.
(16) Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan tahniah serta syabas kepada semua pihak yang berusaha menjayakan forum ini.
(17) Saya percaya dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan sedia membahas dengan mendalam masalah-masalah perumahan, pelajaran, gejala sosial, kesihatan, pengambilan makanan tidak seimbang, tiada tempat rekreasi dan pembangunan modal insan dalam kalangan pekerja serta anak-anak mereka.
(18) Saya sangat berharap supaya ahli-ahli panel dan kalangan pembahas dapat memberi input yang bernas dan bijak yang mampu menarik perhatian, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak terutama para pekerja ladang.
(19) Dengan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya merasmikan Forum, “Mencari Penyelesaian Masalah Masyarakat Pekerja Ladang di Selangor”.
(20) Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Tarikh: 30 Mac 2010
Tempat: Ballroom Dewan Jubli Perak, Shah Alam
0 comments:
Post a Comment