SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak sewenang-wenangnya boleh menggunakan peruntukan tambahan bernilai RM120 juta yang disalurkan kerajaan Pusat, kerana terikat dengan perjanjian bersama oleh kerajaan negeri.
Abdul Khalid menjelaskan, Syabas harus menerangkan setiap pelan rancangan untuk pembangunan industri air kepada kerajaan negeri.
“Syabas dan Puncak Niaga tidak bebas gunakan duit kerana dalam perjanjian mereka perlu terangkan kepada negeri dan dapat persetujuan untuk kos modal bagi projek pembangunan yang ingin dilakukan memandangkan terdapat aset-aset dimiliki kerajaan negeri.
“Duit ini mesti diterangkan kepada kerajaan negeri apa yang mereka (Syabas) nak buat kerana itu adalah salah satu perjanjian. Jika mereka tidak bagi projek dan senarai betul maka kami tidak akan luluskan projek,” katanya.








