SHAH ALAM: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) selesai melakukan upacara rasmi angkat sumpah jawatan di Dewan Negeri di sini pagi tadi. Upacara dimulakan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh yang juga mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan, diikuti Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker.
Kemudian diikuti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Adun Pelabuhan Klang, serta ahli dewan lain mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di hadapan Hannah.
Abdul Khalid dalam ucapannya selepas selesai upacara mengucapkan tahniah kepada semua Adun dan berharap semua ahli dewan bersedia memikul amanah serta tanggungjawab kepada rakyat Selangor. Hannah turut menerima pujian daripada Abdul Khalid dan mantan Speaker Datuk Teng Chang Khim kerana menjadi wanita pertama dalam sejarah perundangan negara dilantik sebagai Speaker.




