Showing posts with label Perutusan Ulang Tahun Kemerdekaan. Show all posts
Showing posts with label Perutusan Ulang Tahun Kemerdekaan. Show all posts
Salam sejahtera,
 
Selamat meraikan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-56 dan juga sambutan Hari Malaysia yang ke-50.
 
Sambutan kemerdekaan bukan semata-mata perarakan dan melaungkan kemerdekaan malah yang penting adalah erti disebalik kemerdekaan itu sendiri. 

Telah lebih lima dekad kita meraikan kemerdekaan saban tahun, namun kemerdekaan bukan sahaja boleh diertikan sebagai bebas daripada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, malah rakyatnya mestilah bebas daripada sebarang penindasan dan pemerasan, bebas mengamalkan hak berdemokrasi, bebas beragama dan berbudaya, bebas memberi pendapat dan mengamalkan fahaman politik termasuk memilih pemimpin serta kerajaan yang diingini. Namun kebebasan ini mestilah berdasarkan etika, ajaran agama serta undang-undang.

Pada ketika kita meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-56, kita dikejutkan setiap hari dengan berita-berita jenayah ragut, tembak dan bunuh. Apakah ertinya kemerdekaan sekiranya rakyat takut dan risau dengan kadar jenayah yang membelenggu ini. Kadar jenayah yang agak serius ini perlu ditangani dengan berhemat serta punca sebenar berlakunya perlu diteliti.

Di Malaysia dan Selangor khususnya, rakyat adalah majmuk dan berbilang kaum, kita harus terus memupuk perpaduan, mengelakkan diskriminasi dan menghormati antara satu sama lain. Saya percaya dengan menghargai antara satu sama lain barulah keharmonian sebenar dapat dinikmati bersama. 

Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita beriltizam menolak sebarang bentuk penjajahan, penindasan dan ketidakadilan dan terus berusaha mengubah negara yang kita cintai ini kepada sebuah negara yang kita bangga dan gembira untuk wariskan kepada generasi kita yang akan datang.

Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat, mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-56 dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-50 kepada seluruh rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
Ahli Dewan Negeri Seri Andalas
Salam sejahtera,

Pada tahun ini kita akan meraikan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-55 dan juga sambutan Hari Malaysia yang ke-49.

Kemerdekaan bukan sahaja boleh diertikan bebas daripada penjajahan kuasa luar, malah rakyatnya mestilah bebas daripada sebarang penindasan dan pemerasan, bebas mengamalkan hak berdemokrasi dan mengamalkan hak masing-masing sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama, budaya dan fahaman politik.

Setelah lebih lima dekad kita meraikan kemerdekaan daripada penjajahan kuasa luar, marilah kita bertekad dan beriltizam sebagai rakyat yang Sebangsa, Senegara, Sejiwa menolak sebarang bentuk penjajahan, penindasan dan ketidakadilan yang kini semakin mencengkam untuk mengubah negara yang kita cintai ini kepada sebuah negara yang benar-benar merdeka, mengamalkan hak berdemokrasi yang sebenar, benar-benar menjaga hak dan keadilan untuk semua rakyatnya tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan fahaman politik serta membentuk sebuah negara yang lebih baik untuk kita wariskan kepada generasi yang akan datang.

Akhir kata, saya dan barisan pimpinan Pakatan Rakyat, mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-55 dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-49 kepada seluruh rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO Kerajaan Negeri Selangor
ADUN Seri Andalas
top