Keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah Liwat 2 adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Ini sekali gus menguatkan lagi dakwaan institusi kehakiman tidak bebas serta tunduk kepada tuan politik mereka yang rakus mahu mempertahankan kuasa dalam apa jua cara sekalipun. 

Lihat sahaja penghakiman yang dibuat berdasarkan dapatan mahkamah yang mendapati Saiful Bukhari adalah seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan bukti-bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan.  Seolah-olah memejamkan mata, telinga dan hati, mereka melangkah keluar meninggalkan tempat duduk masing-masing apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap didalam kamar. Apakah ini satu standard kehakiman yang cuba ditunjukkan oleh institusi kehakiman di Malaysia? Ketika sejarah hitam Nelson Mandela diadili di mahkamah oleh hakim-hakim rejim apartheid kulit putih pun, mereka duduk mendengar Nelson Mandela berucap selama 2 jam 15 minit!

Penghakiman yang jelas konspirasi politik terancang ini bukan sahaja dikecam oleh rakyat terbanyak di Malaysia, malah seluruh dunia. Mereka mengutuk penghakiman ini dan menyatakan kebimbangan atas ketidakadilan yang berlaku keatas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Jika ketidakadilan seperti ini boleh berlaku kepada individu seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi kepada rakyat biasa yang terbanyak.

Saya percaya konspirasi politik bertujuan mematikan kerjaya politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini tidak akan melemahkan kebangkitan rakyat malah menguatkan lagi semangat untuk berjuang menuntut keadilan.

Dengan kebangkitan rakyat ini, saya menyeru angota-anggota KEADILAN diseluruh negara dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bersatu menguatkan jentera parti dan memperkukuh permuafakatan untuk memastikan kerajaan zalim Barisan Nasional ini ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.


YB DR. XAVIER JAYAKUMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT

11 FEBRUARI 2015

0 comments:

top