Berikutan artikel yang diterbitkan MalaysiaKini pada 5 Jun 2014 bertajuk “Chegubard buat aduan bertulis dakwaan rasuah”, saya dengan sekeras-kerasnya menolak segala tuduhan serta dakwaan yang dibuat oleh Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegubard seperti yang disebut dalam artikel itu.
Umum diketahui bahawa saya adalah merupakan salah satu calon yang bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat peringkat pusat dan cabang pada tahun ini. Apa yang didakwa didalam artikel tersebut adalah semata-mata fitnah, berniat jahat dan merupakan satu taktik keji yang begitu terdesak untuk membunuh peluang saya sebagai calon yang bertanding. Dakwaan dan taktik keji ini juga akan mencemarkan reputasi saya sebagai pemimpin parti dan Ahli Dewan Negeri Selangor yang dipilih rakyat.
Sebagai seorang anggota yang telah lama berjuang bersama-sama parti serta diberi amanah memegang jawatan-jawatan penting tertinggi di peringkat pusat dan cabang, saya sememangnya memperjuangkan semangat demokrasi dan kebertanggungjawaban dan sama sekali menolak amalan rasuah dimana-mana peringkat pun.
Saya menolak sekeras-kerasnya apa yang didakwa Chegubard dalam artikel tersebut yang mengaitkan saya sebagai orang suruhan salah satu calon Timbalan Presiden dalam cubaan merasuah Pengerusi Lembaga Rayuan Pemilihan Parti. Ini adalah tidak benar sama sekali.
Sebagai seorang anggota parti, walaupun dalam penggantungan, Chegubard sepatutnya tidak membuat dakwaan melulu yang kononnya beliau dengar dari khabar angin, apatah lagi dakwaan yang bersifat fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan imej anggota serta parti. Ini sama sekali tidak mencerminkan semangat demokrasi pertandingan yang adil dalam pemilihan dan prinsip perjuangan yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat.
Berikutan penerbitan artikel dan dakwaan berniat jahat ini, saya telah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya keatas Chegubard, portal MalaysiaKini serta individu yang bertanggungjawab mengarang artikel ini.
Saya sekali lagi, dengan sekeras-kerasnya menolak segala dakwaan yang dibuat oleh Chegubard seperti yang diterbitkan dalam artikel MalaysiaKini pada hari ini.
YB DR. XAVIER JAYAKUMAR
Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja
Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Seri Andalas
5 JUN 2014
0 comments:
Post a Comment