PETALING JAYA, 21 MEI: Menjadikan pengutipan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) di Singapura sebagai model tidak bersesuaian berikutan pendapatan perkapita rakyat negara ini jauh lebih rendah berbanding Singapura.

Mengenakan GST sebanyak tujuh peratus seperti yang dibayangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini juga membimbangkan kerana bercanggah daripada kadar empat peratus seperti yang dicadangkan Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Menjanjikan penurunan cukai korporat dan cukai pendapatan untuk off-set GST hanya membantu orang kaya.

“Dalam erti kata lain, plan GST BN adalah regresif dan pada dasarnya akan melihat majoriti rakyat membayar lebih cukai daripada minoriti kaya,” kata Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR,  Wong Chen dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square semalam.

Menurut Wong Chen, Idris juga gagal memaklumkan keadaan sebenar Singapura ketika melaksanakan GST pada 1994 tidak terus mengenakan tujuh peratus, sebaliknya hanya mengenakan tiga peratus, dinaikan kepada empat peratus pada 2003 dan hanya 13 tahun kemudian pada 2007 barulah mencapai tujuh peratus.

Menurut Wong Chen yang juga merupakan Ahli Parlimen Kelana Jaya itu, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha membaiki kelemahan asas cukai yang lemah, pembaziran perbelanjaan dan rasuah sekaligus mampu mengurangkan defisit negara.

Menurut beliau kelemahan asas cukai berpunca daripada fakta bahawa pendapatan majoriti rakyat Malaysia adalah masih rendah sekaligus berada di bawah paras had pembayar cukai.

Pada April tahun lalu, kerajaan menangguhkan lagi bacaan Rang Undang-Undang GST buat kali ketiga selepas pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat sejak tahun 2009.

Langkah penangguhan tersebut diambil dipercayai disebabkan kebimbangan BN akan ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.

Bagaimanapun BN selepas mencapai kemenangan dengan majoriti merosot berbanding PRU-12 sebelumnya, dijangka tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan GST selepas diluluskan dengan sokongan wakil rakyat BN di Dewan Rakyat nanti.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top