Selangor Jamin Tidak Berlaku Krisis Air 2014

SHAH ALAM, 15 Feb: Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dihebahkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, krisis air yang dibangkitkan itu merupakan propaganda politik kerajaan Barisan Nasional.

"Ini adalah usaha BN untuk meracun pemikiran dan bertujuan menakut-nakut rakyat Selangor dalam usaha mereka untuk merampas kembali negeri ini.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa projek mega pemindahan air dari Pahang ke Negeri Selangor serta tindakan Syabas memaksa Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat (Langat 2) yang menelan berbilion-bilion ringgit itu tiada tujuan lain.

"Apa yang diketahui ia hanya bertujuan memberi kontrak dan habuan keuntungan kepada syarikat-syarikat kroni yang rapat kepada pemimpin-pemimpin BN," jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau menyatakan, Kerajaan Selangor dengan menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang telah dirawat dan boleh digunapakai bagi menampung keperluah rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagi menampung keperluan air kita akan mengambil air mentah dari bekas-bekas lombong yang banyak terdapat di seluruh negeri Selangor, pengambilan air bawah tanah, rawatan dan penapisan air singai, penggunaan air hujan dan juga air mentah dari takungan air hujan.

"Malah kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna untuk memaksimakan penggunaan sumber-sumber air tersebut untuk menampung keperluan harian rakyat Selangor," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, cadangan ini merupakan alternatif yang lebih bermanafaat dan menjimatkan daripada projek pembangunan infrastruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Kerajaan negeri juga sedang mempercepatkan langkah bagu merawat air sungai untuk penggunaan sektor perindustrian di Negeri Selangor.

"Bagi tujuan ini kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.

"Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020," sambungnya lagi.

Lantaran itu, kerajaan negeri bertegas untuk terus meneruskan tadbir isu bekalan air bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat manafaat pemberian 20 meter padu air percuma.



Sumber: Harakahdaily

0 comments:

top