KENYATAAN MEDIA YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
ISU PEROBOHAN KUIL SRI MAHA MARIAMMAN DI KOTA WARISAN

Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat berpegang teguh dengan prinsip dan dasar kepimpinan yang tidak meroboh sebarang tempat ibadat tanpa rundingan bersama dengan pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan. Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008 yang lepas, satu Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Selangor telah ditubuhkan dengan diwakili oleh semua ahli-ahli agama masing-masing.

Selaku EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, saya memandang serius tindakan perobohan kuil tanpa rundingan dengan pihak-pihak berkaitan dan berkepentingan.

Pada pagi ini arahan menghentikan kerja-kerja merobohkan sebuah kuil Hindu iaitu Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak di Kota Warisan, daerah Sepang telah dibuat. Bagi memastikan isu sebenar perobohan kuil ini, saya serta pihak berkuasa Majlis Daerah Sepang akan hadir pada hari esok di kuil tersebut bagi menyiasat dan berbincang dengan pihak pemaju serta Ahli Jawatankuasa Kuil berkenaan.

Sementara siasatan dibuat, saya meminta supaya semua pihak bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini. Didapati telah ada beberapa pihak yang cuba mensensasikan kes yang masih dalam siasatan ini untuk meraih sokongan politik. Sebarang kenyataan dan dakwaan tidak rasional yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum hasil siasatan diumumkan bukan sahaja dilihat berniat jahat malah boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam


22 Februari 2012

0 comments:

top