SHAH ALAM, 23 SEPTEMBER : Dalam tempoh separuh tahun 2011 ini, Kerajaan Negeri Selangor berjaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta menjadikan ia rekod kewangan yang terbaik dalam tempoh 28 tahun selepas tiga tahun lebih Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.

Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya, melalui dasar itu, beliau dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.

Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.

Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.

Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.

Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.

“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.

“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.

Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.

Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.

“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.



Sumber: Selangorkini

0 comments:

top