Pelabur Minat Melabur di Selangor

SHAH ALAM, 12 Nov – Pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pelaburan menggalakkan di negara ini, khususnya di Selangor berjaya menarik minat para pelabur untuk memulakan atau menambah pelaburan di negeri ini.

Keupayaan membawa masuk pelaburan berbilion ringgit ke Selangor mendapat pandangan positif pihak pelabur dan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program supaya situasi sebegini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata, keyakinan para pelabur untuk melabur adalah petanda positif terhadap kemajuan industri pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Selangor.

Dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini, beliau menjelaskan kerajaan negeri akan terus memastikan iklim pelaburan yang kondusif melalui pelaksanaan dasar pelaburan yang pragmatik dan telus bagi memberi keyakinan kepada pelabur asing.

Bagi mengenal pasti segala masalah yang dihadapi pihak pelabur, jelasnya, Konsep Mesra Pelabur diterapkan dengan mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan pihak berkaitan secara berkala bagi mendapatkan maklum balas mengenainy, seterusnya bertindak cepat mengatasinya.

Katanya, kerajaan negeri juga menaiktaraf infrastruktur di kawasan perindustrian serta menyediakan kawasan perindustrian yang selesa seperti di Selangor Science Park.

Selain itu tambahnya, proses kelulusan permohonan juga dipercepatkan seperti Permohonan Sijil Layak

Menduduki(CF), Permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan kelulusan lain yang diperlukan pihak industri atau pelabur menerusi One Stop Centre (OSC) yang ditubuhkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jawatankuasa pelaburan peringkat negeri dan daerah ditubuhkan bagi memantau perlaksanaan projek-projek pelaburan serta mempromosikan peluang pelaburan di setiap daerah di negeri ini.

“Kita juga mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di semua peringkat termasuk di peringkat PBT dan penambahbaikan fungsi SSCI bagi memantapkan keupayaan dalam memberi perkhidmatan,” katanya.

Tambahnya, antara pendekatan lain adalah pemantauan lebih kerap dijalankan untuk projek-projek yang sedang dilaksanakan, ‘hand hold’ program serta penganjuran dan penyertaan dalam misi pelaburan ke luar negara.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top