Bajet Selangor: RM34.84 Juta Untuk Pendidikan

SHAH ALAM, 8 Nov - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) berhasrat mewujudkan jaringan intelektual yang ampuh bagi menggalakkan percambahan idea dan ilmu yang boleh memacu kemajuan negeri Selangor.

Selangor Kini difahamkan, Selangor menjadi lokasi pilihan 87 kolej swasta, 13 kolej universiti, 4 universiti awam dan 17 universiti swasta.

Bagi menjayakan cita-cita pendidikan ini, sebanyak R34.84 juta ringgit diperuntukkan bagi tahun 2011.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan ini bakal digunakan untuk mempertingkat kualiti pembelajaran dan prasarana pendidikan di seluruh Selangor.

Sebanyak RM500,000 disediakan kepada Universiti Industri Selangor (Unisel) untuk penyelidikan berkaitan teknologi hijau dan jumlah ini tambahan kepada RM500,000 yang diperuntukkan tahun lalu bagi mengiatkan penyelidikan teknologi-bio.

Universiti milik kerajaan negeri ini kini dalam proses rundingan dengan tiga universiti terkemuka dunia untuk melatih tenaga pengajar Unisel.

Tiga universiti terbabit, Universiti Cambridge, Universiti Manchester dan Kolej Imperial London, juga telah memeterai perjanjian persefahaman bagi membolehkan pengajian pascasiswazah kepada graduan lulusan UNISEL.

“Tidak sekadar itu, Unisel menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar dalam program pembangunan penyelidikan berkaitan peralatan saintifik untuk produk halal,” tambah Khalid.

Tidak ketinggalan, pendidikan rendah dan menengah turut mendapat perhatian kerajaan negeri.

Tan Sri Khalid berkata, bantuan sebanyak RM6 juta akan disalurkan kepada pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah-sekolah agama rakyat.

Siasatan kerajaan negeri mendapati sekurang-kurangnya 50,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Selangor diusahakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu prihatin dalam suasana pembelajaran yang amat daif.

Tan Sri Khalid berkata, ketidakpedulian pentadbiran lampau kepada pemerkasaan pendidikan sekolah-sekolah agama rakyat antara faktor kegelinciran modal insan hari ini.

“Mengapa selama 52 tahun kebajikan mereka tidak mendapat perhatian kerajaan sedangkan kita sentiasa merintih masalah kejatuhan moral anak-anak muda,” kata Khalid.

“Kerajaan hari ini bersedia melabur RM6 juta dalam pembangunan siasah anak-anak Selangor daripada menanggung kos menyelenggara anak-anak rosak akhlah di pusat-pusat serenti dengan kos berlipat ganda pada sepuluh tahun akan datang,” tambah beliau.

Sekolah aliran Tamil dan sekolah aliran Cina, masing-masing disediakan dengan peruntukan RM4 juta dan RM6 juta.

“Ini sejajar dengan janji kita untuk mengembangkan dan memajukan penggunaan bahasa ibunda, Jawi dan bahasa Arab,” jelas Khalid.

Sebagai langkah susulan, sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan untuk memperkasakan program Pusat Tusyen Rakyat yang menawarkan khidmat tusyen percuma kepada golongan pendapatan RM1,500 ke bawah.

Penyelenggaraan, pembinaan dan penambahan koleksi perpustakaan komuniti dan desa juga diberi perhatian dengan peruntukkan sebanyak RM13.84 juta, bagi memuaskan dahaga ilmu anak-anak muda.

Sebagai insentif kepada para pelajar, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta lagi untuk program Hadiah Anak Masuk Universiti, yang memberi RM1,000 kepada anak-anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri melahirkan rasa prihatin dengan peratusan tinggi para pelajar yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi.

Bagi membantu golongan ini, kerajaan negeri mengarahkan Pusat Latihan Vokasional INPENS, menyediakan latihan kemahiran tanpa mengira latar belakang.

“Setakat ini, hampir 600 orang pelajar berjaya mengikuti program ini dengan jumlah RM2 juta diperlukan bagi melatih 200 pelajar pada satu-satu masa selama 6 bulan,” jelas Khalid.

0 comments:

top