Bajet Selangor: KDNK Meningkat

SHAH ALAM, 8 Nov - Ekonomi Selangor kembali berdaya apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang ke paras 6.1 peratus setakat Ogos tahun ini.

Pencapaian ini mengaburi penguncupan 1.2 peratus tahun lalu, dan unjuran mencatatkan pertumbuhan tahun atas tahun mencapai 9.6 peratus menjelang suku ke empat 2010.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sektor perkhidmatan menyumbang 60.5 peratus kepada perkembangan KDNK semasa, diikuti sektor pembuatan 32.4 peratus dan pembinaan 5.5 peratus.

“Pengembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan berjaya membolehkan Selangor tumbuh lebih baik berbanding prestasi negara antara tahun 2007 hingga 2009,” kata Khalid di pembentangan Belanjawan 2011 Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menjangkakan sektor perkhidmatan akan terus mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus bagi tahun 2011.

Sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan merupakan penyumbang terbesar daripada segi nilai ditambah (added value), dengan anggaran pertumbuhan nilai sebanyak 4.2 peratus.

Sementara itu, sektor kecil perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran dijangka terus kukuh dengan pertumbuhan 6.5 peratus.

Bagi sektor perindustrian pula, sektor ini dijangka mengalami peningkatan nilai ditambah sebanyak 7.0 peratus ekoran pertumbuhan nilai ditambah yang kencang (7.1 peratus) di sektor pembuatan.

Sektor pembinaan pula diunjurkan bakal mengalami pertumbuhan positif 6.1 peratus, hampir menyamai pertumbuhan sektor pembinaan negara bagi suku tahun pertama 2010, iaitu 8.7 peratus dan 4.1 peratus bagi suku kedua tahun yang sama.

“Keaktifan sektor ini dijangka disumbangkan oleh pembinaan rumah kediaman, kawasan rekreasi, kompleks, dan bangunan perdagangan serta kerja-kerja baik pulih,” katanya.

0 comments:

top