SHAH ALAM: Segala perjanjian yang diluluskan Tan Sri Khalid Ibrahim semasa menjadi Menteri Besar Selangor khususnya dalam tempoh peralihan kuasa harus disiasat semula dan didedahkan kepada umum, kata ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.

Ini kerana semua perjanjian itu ditandatangani tanpa merujuk parti.

"Saya difahamkan bahawa kita akan tengok beberapa kontrak yang telah ditandatangani sebab yang ramai yang risau perjanjian itu dibuat tanpa rujukan parti.

"Jadi kita akan tengok macam mana keadaannya dahulu, dan untuk kita buat satu semak dahulu adakah perjanjian itu bawa keuntungan kepada rakyat negeri Selangor atau sebaliknya dan kalau perlu kita buat pendedahan itu kepada umum," jelasnya ketika dihubungi Antarapos.



Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbiran Selangor di bawah menteri besar yang baharu Mohamed Azmin Ali dijangka mengkaji semula dan mendedahkan "kelulusan besar dan kontrak" yang dilakukan di bawah pentadbiran sebelumnya.

Ia termasuklah perjanjian air dengan kerajaan persekutuan yang melibatkan operasi rawatan dan pengedaran dalam industri bernilai RM30 bilion, pembinaan loji rawatan air Langat 2 RM3.6 juta dan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Azmin sebelum ini berikrar tidak akan menjadi menteri besar 'kawalan jauh' seperti yang ditohmah beberapa pihak.

Xavier berkata segala kekalutan ini timbul apabila Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang bertindak meluluskan beberapa perkara ketika beliau menjadi menteri besar peralihan.

Khalid sebelum ini dititahkan menjadi Menteri Besar Selangor sehingga Sultan Selangor memilih pengganti beliau.

Khalid sebelum itu dipecat PKR dan menjadi menteri besar bebas.

"Masalahnya ini semua ditandatangani dalam dua bulan bila di mana Tan Sri Khalid pada waktu itu dalam kemelut  meletakkan jawatan dan juga menjadi 'caretaker goverment' (kerajaan sementara) di Selangor.

"Soalan rakyat adalah kenapa bila jadi 'caretaker government' dia tandatangani beberapa kontrak yang penting dengan hanya empat exco sahaja pada waktu itu," katanya.

Khalid dalam reaksi balasnya mencabar Anwar dan PKR membuat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Sumber: AntaraPos

0 comments:

top