28 JANUARI 2009
KENYATAAN MEDIA
Ketua Polis Selangor Harus Letak Jawatan Secara 'Gentleman' Orangramai begitu sedih dan kesal terhadap apa yang berlaku terhadap mendiang A. Kugan, 22 yang mati semasa berada di dalam tahanan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya tujuh hari yang lalu.
Tanpa berasa bersalah (without guilty conscience) Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar membuat kenyataan bahawa kematian Kugan adalah disebabkan terdapatnya cecair di dalam paru-paru simati.
Kugan dilaporkan rebah setelah meminum air semasa sesi soal siasat di balai polis tersebut.
Tetapi insiden di bilik mayat Hospital Serdang malam Selasa lepas membongkarkan 'pekong' pihak berkuasa polis dan pihak hospital. Semasa memeriksa seluruh badan Kugan, ahli keluarga serta kenalan mendiang dan sekumpulan orang awam mendapati banyak kesan-kesan penderaan seperti calar-calar dan lebam-lebam ke atas hampir seluruh anggota badan mendiang.
Insiden ini membuka mata orangramai betapa perlunya kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menpercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Penambahbaikan dan Aduan Polis (IPCMC) yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dan NGO Hak Asasi dan kemasyarakatan selama ini.
Kita juga menyeru agar ditubuhkan Badan Penyiasatan Bebas bagi menyiasat kes ini kerana orangramai 'sudah hilang kepercayaan' terhadap kredibiliti pihak polis menyiasat kes tersebut. Orangramai mempunyai presepsi bahawa pihak polis 'tidak dapat berlaku adil dan telus' apabila melakukan penyiasatan yang melibatkan anggota polis yang lain.
Kita ingin menegaskan di sini bahawa tugas dan peranan utama Polis "Diraja" Malaysia ("Royal" Malaysian Polis) ialah memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta hartabenda mereka. Tetapi apa yang berlaku sejak kebelakangan ini… contohnya kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes C4 – pembunuhan Altantuya dan terkini kes Kugan yang memerlukan tindakan segera.
Ini akan menimbulkan kepada persoalan umum ….."Polis bertanggungjawab memerhatikan Orangramai….tetapi Siapa pula memerhati Polis" Kes Kugan harus dilihat dari skop yang lebih besar. Ia bukanlah isu perkauman satu-satu kaum sahaja. Ini melibatkan isu keselamatan rakyat yang berbilang kaum yang terdiri dari masyarakat Melayu, Cina dan India.
Ibubapa merasa tidak selamat membenarkan anak-anak muda mereka bekerja apabila pihak polis yang sepatutnya menjamin keselamatan mereka di luar sana bertindak sebaliknya. Pihak Polis harus berdisiplin dan dan bersikap professional.
Sebarang tangkapan harus dimaklumkan kepada keluarga atau waris terdekat suspek. Suspek juga harus diberikan ekses untuk menghubungi peguam apabila mereka ditahan oleh pihak polis. Tetapi malangnya perkara ini tidak berlaku.
Presepsi umum terhadap polis adalah umpama "Tiga Dalam Satu" ….Polis adalah Penguatkuasa (Enforcer) , Hakim ( Judge) dan Pelaksana Hukuman (Executioner). Tanggapan masyarakat terhadap Polis sudah berubah sekarang. Rakyat harus menghormati Polis bukan 'takut' kepada Polis.
Dr. A. Xavier Jayakumar
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tarikh : 28HB Januari, 2009
1 comments:
Ini menjelaskan lagi bahawa Polis Raja di Malaysia (bukan Polis DiRaja Malaysia)!
Post a Comment