Rombak Struktur Ekonomi Akan Biayai Dasar PR

PETALING JAYA, 27 FEB: Perubahan struktur ekonomi seperti merombak monopoli dan mengadakan tender terbuka bagi kontrak Kerajaan oleh pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) akan menghasilkan dana bagi melakasanakan dasar di dalam manifesto PR.

Ahli Jawatankuasa Pembentangan Manifesto Rakyat, Rafizi Ramli menjelaskan, pembiayaan dasar dan inisiatif seperti menurunkan harga kereta, membiayai pendidikan percuma dan bonus warga emas bersandarkan tiga sumber kewangan.

Iaitu penjimatan perbelanjaan dengan membenteras rasuah dan perbelanjaan berhemah, menyusun keutamaan perbelanjaan selain pendapatan daripada peningkatan hasil pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Rafizi berkata secara keseluruhan, kos anggaran sebanyak RM 45.75 bilion diperlukan bagi melaksanakan program ekonomi di dalam manifesto PR.

Manakala sekiranya PR dapat memerintah dan melakukan penjimatan dalam projek kerjaraya seperti yang dilakukan Kerajaan PR Selangor, ia akan menambah RM 49.5 bilion yang boleh digunakan untuk membiayai program PR.

Rafizi berkata Selangor dapat menjimatkan RM 10.4 juta atau 24 peratus daripada belanja perolehan untuk projek kerjarayanya.

Sekiranya PR memerintah Putrajaya dan melakukan perkara yang sama terhadap belanja perolehan Kerajaan Persekutuan, ia dapat menjimatkan RM 49.5 bilion.

Jumlah perolehan Kerajaan Persekutuan pada 2013 adalah RM 206.4 bilion.

“Penyusunan keutamaan perbelanjaan boleh dibuat antaranya melalui semakan semula rasianalisasi subsidi kepada IPP, rundingan semula monopoli dan pampasan.

“Selain mengalihkan perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan sektor kurang keutamaan,” kata Rafizi di dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

PR telah melancarkan manifesto pilihanrayanya pada 25 Februari yang bertajuk Manifesto Rakyat.

Beliau berkata jika pertumbuhan ekonomi mencecah tujuh peratus setiap tahun, Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak RM 20 bilion setiap tahun.

“Kutipan cukai tambahan pada nisbah purata 20 peratus menterjemahkan pendapatan tambahan RM 4 bilion setahun,” katanya.

Selain itu, perlaksanaan tender terbuka mampu mewujudkan persaingan lebih luas dan penjualan AP kenderaan akan menambah aliran kewangan negara, katanya.

“Setiap program telah dikira anggaran berdasarkan aliran tunai tahunan.

“Angka yang tepat penting bagi tujuan diskusi yang bermakna bukan angka menakutkan rakyat,” ujarnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top