Isu Air : Pertembungan Buku Dengan Ruas

PANDAN INDAH, 22 FEB: Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin memaklumkan langkah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan usaha pengambilalihan ini meskipun dipertikaikan beberapa pimpinan Umno-BN disifatkan sebagai pertembungan ‘buku dengan ruas’.

Jelas Faekah lagi, Menteri Besar memaklumkan kepada beliau langkah pengambilalihan air ini bukan gimik politik tetapi ia lebih besar daripada pengambilalihan saham Guthrie pada tahun 1981.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah ini rakyat perlu memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya akan datang dan menguasai Putrajaya bagi memudahkan urusan pengambilalihan air daripada syarikat konsesi yang masih berdegil untuk menerima tawaran yang dikemukakan.

“Ini kerana, Kerajaan Pusat, saham emas (golden share) berjumlah satu peratus boleh digunakan secara mutlak bagi mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menerima tawaran yang dikemukakan Kerajaan Selangor bagi membolehkan pengambilalihan operasi pengurusan air di Lembah Klang dan Selangor dilakukan,” katanya pada Forum Air Selangor di Pandan Indah.

Tambahnya, jika syarikat konsesi menolak tawaran ia bukan lagi diklasifikasikan sebagai transaksi perniagaan tetapi sudah dipolitikkan, maka Kerajaan Selangor akan bertindak balas secara politik.

Menurutnya, Kerajaan Selangor hanya akan menawarkan harga pengambilalihan pada kadar jumlah potongan 50 peratus daripada harga sekarang sekiranya syarikat konsesi masih berkeras dan menolak tawaran harga yang dikemukakan.

“Bubarlah dewan (Dewan Negeri Selangor), bubarlah Parlimen, air milik anda (rakyat) dan kita ambil.

“Dan kalau mereka (syarikat konsesi) tolak, sekarang kita tawarkan RM9.65 bilion. Kita (kekal) perintah Selangor, kita dapat Putrajaya, kita akan tawarkan tidak lebih daripada RM5 bilion. Itu pelan kita,” katanya

Jelasnya, dengan tawaran bernilai RM9.65 bilion yang diumumkan oleh Abdul Khalid pada pertengahan minggu ini, syarikat konsesi tidak boleh menolak harga yang ditawarkan melainkan mengemukakan bantahan harga tawaran bagi proses timbang tara harga seperti yang termaktub dalam perjanjian penswastaan air 2004.

Tawaran itu akan memberi pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti kepada syarikat-syarikat tersebut dan merupakan usaha terkini Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri air supaya menjadi lebih cekap.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top