MB: Syabas Tidak Bebas Guna Peruntukan RM120 Juta

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak sewenang-wenangnya boleh menggunakan peruntukan tambahan bernilai RM120  juta yang disalurkan kerajaan Pusat, kerana terikat dengan perjanjian bersama oleh kerajaan negeri.

Abdul Khalid menjelaskan, Syabas harus menerangkan setiap pelan rancangan untuk pembangunan industri air kepada kerajaan negeri.

“Syabas dan Puncak Niaga tidak bebas gunakan duit kerana dalam perjanjian mereka perlu terangkan kepada negeri dan dapat persetujuan untuk kos modal bagi projek pembangunan yang ingin dilakukan memandangkan terdapat aset-aset dimiliki kerajaan negeri.

“Duit ini mesti diterangkan kepada kerajaan negeri apa yang mereka (Syabas) nak buat kerana itu adalah salah satu perjanjian. Jika mereka tidak bagi projek dan senarai betul maka kami tidak akan luluskan projek,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada Syabas bagi membantu mengatasi masalah air di Selangor.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang diberikan kepada Syabas sebelum ini.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Najib bahawa 430 projek pembangunan tertangguh ekoran masalah air di negeri itu, Abdul Khalid berkata perkara itu sudah selesai.
 
Syabas tidak boleh luluskan

“Dalam perjanjian dengan Syabas dan kerajaan Pusat,  semua pentadbiran air mahupun kelulusan projek yang memerlukan air adalah ditadbir oleh Pengarah Kawal Selia Air di bawah Unit Perancang Ekonomi Selangor. Syabas tidak beri kelulusan,  sebaliknya oleh Pengarah..itu muktamad. Malah Pengarah dan luluskan 400 projek tersebut,” jelas beliau.

Beliau ditemui ketika merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan, Dasar Pendidikan Negara 2013-2025 di Universiti Selangor (Unisel) hari ini yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments:

top