SHAH ALAM 17 FEB : Dasar Ketelusan dan Kebertanggungjawaban yang diamalkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah pemangkin kepada tarikan dan pertumbuhan pelaburan negeri itu.

Pencapaian RM 48 bilion dalam lima tahun lepas menunjukkan dasar-dasar tersebut yang menjadi tunjang prinsip pentadbiran PR, berjaya menarik pelaburan sehingga Selangor menerajui semua negeri dalam jumlah pelaburan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dasar ketelusan menunjukkan Kerajaan Negeri terbuka dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan yang sihat.

Beliau berkata sejak 2008 Selangor konsisten menduduki tempat pertama atau kedua negeri yang mendapat pelaburan tertinggi.

Negeri kedua yang mencapai jumlah pelaburan tertinggi di negara ini adalah Sarawak yang memperolehi jumlah pelaburan sebanyak RM 40.72 bilion.

“Itulah sebabnya kita mengumumkan bahawa Negeri Selangor sebagai negeri pertama yang mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi sejak 2008,” ujar Abdul Khalid.

“Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua para pelabur dengan sokongan dan kejayaan anda semua,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penghargaan Pelabur 2012 anjuran Selangor State Investment Center (SSIC) yang diadakan di I-Walk I-City di sini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Selangor, Teresa Kok dan Dr Xavier Jayakumar serta Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Kim.

Di majlis itu, Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Shah Alam menerima penghargaaan kerana terpilih sebagai “Kawasan Yang Paling Digemari Para Pelabur Bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan.”

Sementara itu, Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Hulu Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Petaling Jaya dan Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Klang menerima anugerah bagi kategori Daerah.

Untuk Kategori Pelabur Dalam Negara Dengan Pelaburan Tertinggi, Anugerah diberikan kepada syarikat Asia Pasific Truck And Bus Sdn Bhd dan SKS Building Coach Sdn Bhd.

Manakala Kategori Pelabur Luar Negara Yang Pelaburan Tertinggi, Anugerah diberikan kepada syarikat Baker Mansion dan DSG (M) Sdn Bhd.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top