Saman AES Dibatalkan Sekiranya PR Tawan Putrajaya

KLANG, 22 FEB: Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi pilihan raya yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang diadakan pada minggu lepas.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, saman tersebut dibatalkan bukan sahaja kerana ia membebankan rakyat, malah syarikat pengendali sistem tersebut juga dimiliki individu tertentu dalam Umno.

“Satu saman RM300. 400,000 saman sudah ada berapa bilion ringgit? Siapa dapat? Syarikat orang Umno dapat. Siapa bayar? Kita bayar. Dua saman RM600, habis duit BR1M RM500.

“Dahulu kita kata tangguhkan perlaksanaan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR minggu lalu, PKR, PAS dan DAP sudah ambil keputusan, kita ambil alih Putra Jaya semua saman AES dibatalkan,” kata Anwar dihadapan hampir 7,000 hadirin yang membanjiri tapak ceramah di Taman Rakyat di Seri Andalas di sini.

AES merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menyaman pemandu yang memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun projek swasta bernilai RM700 juta yang dimulakan pada bulan September tahun lalu itu mendapat bantahan orang ramai kerana dikatakan mempunyai sistem tidak cekap sehingga menyebabkan pemandu yang tidak memandu laju turut dikenakan saman.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As’aad Khuzaimi sebelum ini, AES diwujudkan semata-mata bertujuan menghalalkan niat busuk Umno-BN mendapatkan keuntungan secara mudah kepada kroni-kroni mereka.

Pada 18 Disember lalu, beberapa mahkamah yang mengendalikan prosiding kes saman AES termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya memutuskan melepaskan tanpa membebaskan semua orang kena saman (OKS) bagi kes AES.

Keputusan itu diambil apabila mendapat bantahan awal dari peguam JUHAM dan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) berikutan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyalahi undang-undang dengan menjalankan pendakwaan tanpa menunjukkan surat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top