SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengambil alih semula 33 loji rawatan air di Selangor daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Puncak Niaga kerana kedua-dua syarikat ini didapati tidak menguruskan infrastruktur itu dengan baik.

Usaha ini bagi memastikan tiada ganguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar.

Tambah Dr Xavier, usaha ini juga bagi mendapatkan situasi sebenar permintaan, agihan dan penggunaan air di seluruh Selangor.

“Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengesahkan bahawa 33 daripada 34 loji rawatan air sedia ada merupakan aset milik Kerajaan Negeri,” beliau berkata di dalam satu kenyataan media.

Kerajaan Negeri mempertikaikan ‘kesahihan’ kedudukan bekalan air dan kapasiti pengedaran air berdasarkan juta liter sehari (JLH) yang dikeluarkan Syabas yang kononnya dari sumber maklumat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita berpendapat bahawas SPAN hanya menerima pakai data-data yang dibekalkan oleh SYABAS dan harus diingat bahawa SYABAS adalah pihak berkepentingan dalam isu air ini.” Kata Jayakumar.

Katanya, Kerajaan Negeri dan beberapa NGO berkali-kali menyarankan supaya audit air dibuat oleh sebuah agensi bebas.

Sebelum ini, Exco Selangor, Ronnie Liu mendedahkan bahawa SYABAS gagal menyelenggara dengan baik pam-pam air, peralatan dan kelengkapan serta tahap kawalan keselamatan tangki air.

Ini menyebabkan infrastruktur bagi merawat dan mengagih air di seluruh Selangor tidak berjalan dengan baik dan mengakibatkan gangguan bekalan di beberapa tempat.

Sementara itu, Dr Xavier mengkritik Kerajaan Pusat kerana mahu meneruskan projek Langat 2 tanpa kelulusan dari Kerajaan Selangor.

Dr.Xavier berkata, pemimpin Kerajaan Pusat tidak memahami konsep dan moral sistem ‘Federalisme’ yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Yang jelas adalah hak terhadap sumber air, hutan, batuan dan galian dan hal ehwal melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan Selangor berpendirian projek pemindahan air dari Pahang Langat 2 akan membebankan rakyat Selangor kerana kosnya yang tinggi.

Oleh itu ia mahu mengambil alih pengurusan industri air dari Syabas sebelum projek itu diteruskan.

0 comments:

top