Selangor Sedia Biayai Kos Guaman Rafizi

SHAH ALAM 1 OGOS : Kerajaan Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu Rafizi Ramli menjalani proses mahkamah berikutan penahanannya berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Menerusi Twitternya pagi tadi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyelar tindakan penahanan tersebut berikutan pendedahan beberapa skandal utama yang melibatkan pemimpin Umno-BN termasuk Projek Tambahan LRT Ampang.

“Kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman saudara Rafizi Ramli.

“Kerajaan Negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent,” katanya.

Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Awal pagi tadi, Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Johari Muhamad yang turut ditahan bersama Rafizi merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top