SEPANG 4 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru Kerajaan Pusat mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat dalam isu air Selangor.

Jelasnya, jika Kerajaan Pusat terus enggan membenarkan penstrukturan semula air seperti yang dicadangkan Kerajaan Negeri, ini bermakna mereka mengutamakan kepentingan individu berbanding rakyat.

“Itu adalah pilihan Kerajaan Pusat samada membuat keputusan untuk keutamaan rakyat atau terus berkeras meneruskan Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka dan membebankan rakyat.

“Daripada keputusan itu juga, rakyat sudah tentu dapat menilai siapa yang lebih utama di mata Kerajaan Pusat,” jelasnya dalam satu sidang media selepas Majlis Pemberian Hak Milik Individu kepada penduduk Taman Murni di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat menerusi menteri kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar mendakwa Selangor akan berhadapan dengan krisis air jika projek pemindahan air Langat 2 tidak diteruskan di Selangor.

Akan tetapi Kerajaan Selangor berpendirian bahawa masalah bekalan air terawat adalah berpunca daripada kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menguruskan pembekalan dan pengagihan.

Kerajaan Negeri hanya akan meluluskan Langat 2 jika ia dapat mengambil alih operasi air terawat daripada Syabas.

Tetapi ini ditentang oleh Kerajaan Pusat yang mahukan Langat 2 walaupun ia akan menelan belanja RM 6 bilion.

Abdul Khalid juga mempelawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui kepada forum air Selangor bagi mendengar penerangan berkenaan status bekalan air.

“Saya menjemput Datuk Seri Peter Chin untuk memberi penerangan di dalam forum air yang Kerajaan Negeri anjurkan nanti.

“Kita sudah menghantar surat jemputan tapi setakat ini tiada sebarang balasan daripadanya dan itu memang itu sudah biasa berlaku,” sindir beliau.

Kerajaan Negeri akan mengadakan forum di seluruh peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula Selasa ini khusus bagi menjelaskan kepada rakyat Selangor tentang isu air.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top