PETALING JAYA 14 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung pembinaan loji Langat 2 yang dikatakan mampu menyelesaikan krisis air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata krisis air di negeri itu mampu diselesaikan apabila projek mitigasi 1 dan projek mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) disiapkan.

Katanya, kedua-dua projek mitigasi itu mampu mengeluarkan air terawat sebanyak lebih 600 juta liter sehari (JLH).

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan semula Loji Air Bukit Jelutong sebagai langkah alternatif untuk meningkatkan kapasiti air sebanyak 50 JLD untuk kegunaan pengguna di Selangor.

Xavier turut menegaskan, krisis kekurangan air untuk Selangor sebenarnya tidak berlaku seperti didakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat.

“Projek mitigasi Fasa 1 sedang dijalankan dan daripada projek itu, air terawat dapat disalurkan kepada penduduk di bahagian Selatan Selangor.

“Manakala projek mitigasi 2 iaitu SSP 1 dan SSP 3, sedang dalam proses mendapatkan konsultan, tender sudah dikeluarkan. UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) memaklumkan, projek mitigasi 2 akan disiapkan Mac 2013 atau selewat-lewatnya Jun 2013,” katanya selepas Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya di sini.

Xavier menambah satu pelan tindakan akan dibuat selepas 2015 bagi memastikan pengeluaran air terawat dapat dikeluarkan secara berterusan kepada pengguna.

“Jika Projek Mitigasi yang dirancang ini dilaksanakan maka tidak akan ada krisis air walaupun pada 2015,” katanya.

Dalam Dialog itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia Air Span, Marzuki Mohammad memberitahu margin rizab simpanan air berkurangan sehingga kurang dua peratus pada masa kini.

Katanya, jumlah itu mengalami penurunan daripada tahun 2009 sebanyak 9.3 peratus, 2010 sebanyak 6.19 peratus, 2011 sebanyak 4.2 peratus dan sehingga kini kepada kurang dua peratus.

Justeru, katanya, pembinaan projek Langat 2 perlu dilaksanakan dengan segera.

Bagaimanapun, beliau mengakui simpanan air masa kini mencecah sebanyak 100 peratus dan masalah di beberapa kawasan yang mengalami gangguan air dapat diselesaikan.

Beliau berkata masalah gangguan bekalan air itu terganggu akibat corak penggunaan air pada musim panas serta hujan.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top