SHAH ALAM, 7 OGOS : Pakatan Rakyat (PR) Selangor mempersoalkan kenyataan Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang menjanjikan harga air “yang munasabah” jika diberi peluang mentadbir semula Selangor.

Ini kerana Noh memberi jaminan berkenaan walaupun Kerajaan Pusat akan menangguh beban pembinaan projek pemindahan air Langat 2 yang berjumlah RM 8.65 bilion.

Keupayaan Umno-BN menunaikan janji tersebut juga dipersoal kerana dengan adanya Langat 2, Selangor terpaksa membayar RM 60 juta kepada Pahang setiap tahun sebagai royalti air.

Lebih lagi, keikhlasan Umno-BN dipersoal kerana mereka memihak kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang pada asalnya mahu meningkatkan harga air sebanyak 70 peratus menjelang 2012.

Kenyataan Noh yang tidak memberi butiran jauh berbeza dengan jaminan Pakatan bahawa harga air tidak akan dinaikkan melebihi 12 peratus.

Lebih lagi kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Selangor tidak akan membenarkan Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat menaikkan tarif air sehingga 70 peratus.

Katanya, Kerajaan Selangor percaya bahawa pelaksanaan projek Langat 2 bernilai RM8.65 bilion itu hanyalah sekadar untuk mengkayakan kroni Umno-BN, tanpa mengutamakan keperluan rakyat.

“Umno-BN terlalu banyak memutar belit fakta kerana mereka mahu rakyat percaya bahawa kenaikan tarif air 70 peratus yang akan dikenakan Syabas adalah berpatutan dan munasabah.

“Bagaimana mereka boleh katakan begitu sedangkan rakyat Selangor nanti terpaksa membayar RM 60 juta setahun kepada Kerajaan Pahang kesan daripada projek tersebut.

“Adakah itu yang Umno-BN katakan tidak membebankan rakyat?”soalnya.

Beliau berkata, satu-satunya perkara yang menghalang Syabas untuk meningkatkan tarif air adalah campur tangan Kerajaan Negeri setelah Pakatan memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008.

Tambahnya, pentadbiran telus Kerajaan Negeri telah memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati hasil negeri, antaranya pemberian 20 meter padu air percuma yang akan diteruskan sekiranya PR terus diberi mandat.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mengurangkan ketirisan dan memperbaiki prestasi bagi memastikan lebih banyak  manfaat dapat diberikan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mendapatkan penstrukturan semula air di negeri ini dan terus menjaga kebajikan rakyat.

“Tidak ada sebab sama ada dana kerajaan persekutuan atau negeri perlu digunakan untuk membiayai projek mega yang tidak wajar kepada rakyat Selangor,” katanya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top